Rabu, 16 Januari 2019 | 4:45pm

Honda Malaysia lancar empat varian HR-V

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini melancarkan barisan model kenderaan utiliti sukan (SUV) HR-V terbaharunya, yang ditawarkan menerusi empat pilihan varian iaitu Sport Hybrid i-DCD, RS, V dan E untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama, berkata pelancaran varian Sport Hybrid i-DCD itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di luar Jepun yang menggunakan sistem hibrid Pemanduan Dua Klac pintar (i-DCD) dalam segmen SUV kompak.

“Varian Sport Hybrid menerima gandingan janaan enjin 1.5 liter (L) DOHC i-VTEC dengan motor elektrik berkuasa tinggi yang dikuasakan bateri lithium-ion serta dipadankan transmisi automatik dwi-klac tujuh kelajuan.

“Gandingan ini sekali gus menawarkan keseimbangan dari segi prestasi pecutan mantap dengan kecekapan bahan api yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai HR-V RS, Ishiyama berkata, ini adalah kali pertama varian itu dibawa masuk ke pasaran tempatan, malah ia sudah menerima lebih 4,600 tempahan sejak ia diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu.

“HR-V RS pula dijana enjin 1.8 liter (l) SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear Continous Variable Transmission (CVT) bagi menawarkan prestasi dan penjimatan api yang seimbang. Janaan kuasa ini juga terdapat pada varian V dan E.

”Bagaimanapun, spesifikasi untuk model RS hadir dengan sistem stereng Variable Gear Ration (VGR) baharu untuk pemanduan lebih cekap dan stabil sama ada memandu di bandar atau lebuh raya.

“Dari segi penampilan, ia didatangkan rim aloi dua tona 18 inci, rekaan gril hadapan sporty selain bamper hadapan dan belakang baharu untuk menghasilkan wajah yang lebih segar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Honda Malaysia menyasarkan jualan 1,000 unit untuk varian petrol (V,E dan RS) manakala 100 unit untuk Sport Hybrid i-DCD sebulan.

Katanya, syarikat itu yakin mencapai sasaran yang ditetapkan berikutan sambutan memberangsangkan model HR-V di Malaysia apabila 72,300 unit berjaya dijual sejak model itu mula dilancarkan pada 2015.

“Pasaran kompak SUV di Malaysia terus mencatat peningkatan dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan HR-V menjadi penyumbang kepada pertumbuhan itu.

“HR-V juga menyumbang lebih 20 peratus kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia, menjadikannya antara model paling laris untuk syarikat automotif ini.

“Tumpuan kami pada masa ini adalah memperkenalkan teknologi canggih generasi baharu menerusi semua produk Honda, memastikan kepuasan pelanggan. Kami sudah memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD, enjin turbo dan teknologi keselamatan dikenali sebagai Honda Sensing untuk memenuhi permintaan orang pelanggan di Malaysia,” katanya.

INFO

- Empat varian ditawar: Sport Hybrid i-DCD, RS, V dan E

- Lima pilihan warna: Modern Steel, Lunar Silver, Ruse Black, White Orchid Pearl serta warna baharu Passion Red Pearl

- Harga: RM108,800 (E), RM118,800 (V), RM124,800 (RS) dan RM120,800 (Sport Hybrid i-DCD)

Kelengkapan standard:

* Butang penghidup enjin/kemasukan tanpa kunci

* Pendingin hawa automatik

* Lampu utama auto

* Lampu nyalaan siang

* Kawalan kelajuan

* Pedal penukar gear,

* Kawalan audio pada roda stereng

* Empat pembesar suara untuk sistem audio.

Berita Harian X