Rabu, 9 Januari 2019 | 7:03pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kiri) dan Presiden Jualan dan Pemasaran, Kereta Penumpang, Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine pada pada taklimat media prestasi syarikat di Kuala Lumpur. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.

Mercedes-Benz catat rekod jualan tertinggi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) terus mencipta sejarah baharu dalam pasaran kereta premium tempatan apabila merekodkan jualan 13,079 unit sepanjang tahun lalu, tertinggi sejak ditubuhkan pada 2003.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata prestasi kukuh itu menyaksikan pertumbuhan jualan sembilan peratus atau 1,034 unit berbanding 12,045 unit yang dicatatkan pada 2017.

Katanya, penguasaan pasaran dalam segmen premium turut meningkat kepada 2.4 peratus berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.

"Tahun lalu, prestasi jualan MBM dipacu segmen limosin model pemasangan tempatan (CKD) dengan 7,910 unit dijual, diikuti segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) merangkumi 2,613 unit, kompak (1,875 unit) dan 662 unit di bawah model kategori Dream Cars.

"Kami juga merekodkan sebanyak 148,800 unit kenderaan diservis pada 2018, meningkat 16 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, portfolio kewangan MBM meningkat 23 peratus kepada RM2.7 bilion," katanya pada taklimat media prestasi MBM 2018, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Weidner berkata Mercedes-Benz sehingga kini juga telah melabur lebih RM1 bilion di pasaran Malaysia sejak 2003, dan kilang pengeluaran MBM di Pekan, Pahang mencerminkan kedudukan jangka panjang dan komitmen syarikat kepada ekonomi Malaysia.

"Sepanjang 2018, kilang pengeluaran MBM menghasilkan 9,854 kenderaan termasuk model terbaharu Mercedes-Benz S 450L dan AMG C 43 facelift," katanya.

Mengulas mengenai prospek 2019, Weidner berkata, MBM akan meneruskan strategi berasaskan pelanggan selain memperkemaskan rangkaian pengedaran serta perkhidmatan selepas jualannya.

"Kami menjangkakan persekitaran pasaran yang mencabar tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, bagaimanapun, namun menyasarkan untuk mencatat pertumbuhan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

"Tidak dinafikan, tempoh cuti cukai pada pertengahan tahun lalu membantu melonjakkan jualan MBM pada 2018. Bagaimanapun, kami yakin untuk terus mencatat prestasi kukuh sepanjang 2019 dan mensasar untuk terus mencipta rekod jualan baharu tahun ini.

"Antara usaha kami untuk 2019 adalah untuk menambah baik prestasi jualan segmen kereta kompak Mercedes-Benz yang mencatatkan penurunan 7.7 peratus sepanjang tahun lalu," katanya.

Ditanya mengenai jumlah pelancaran model baharu bagi 2019, beliau berkata, syarikat itu sedang menambah baik portfolionya dan sedang mengkaji permintaan di pasaran tempatan supaya dapat memperkenalkan produk paling sesuai untuk pelanggan di Malaysia.

229 dibaca
Berita Harian X