Isnin, 7 Januari 2019 | 10:55am
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk TS Mohamad Madani Sahari (dua kanan) ketika melihat pameran Karakuri selepas majlis Perutusan Tahun Baru 2019 dari Perodua dan Malaysia Automative, Robotics & IoT Instutute (MARii). Turut hadir Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahamd (tiga kiri) dan Presiden Kelab Vendor Perodua, Musa Zahidin Ahmad Zaidee di Banguan Korporate Perodua, Serendah, Jumaat lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Lebih 55 kereta baharu diperkenal tahun ini

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 55 model dan varian baharu termasuk versi dinaik taraf akan dilancarkan pengeluar automotif di Malaysia tahun ini, dengan sebahagian besar adalah model kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata pengenalan model baharu dan dipertingkatkan tahun ini menunjukkan impak positif industri automotif negara, terutama dari segi peningkatan kesedaran pengguna mengenai kelebihan memiliki kenderaan EEV.

“Permintaan pasaran kepada EEV sebenarnya membawa daya tarikan positif bagi pengeluar kereta untuk membawa lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada BH.

Di bawah Dasar Automotif Nasional 2014, (NAP 2014), kerajaan menetapkan sasaran untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau bagi kenderaan EEV.

Berdasarkan amalan antarabangsa, EEV ditakrifkan sebagai kenderaan yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi penggunaan bahan bakar secara lebih efisien dan pelepasan bahan asap, termasuk kenderaan konvensional bertenaga efisien, hibrid, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan berbahan bakar alternatif seperti gas asli mampat, gas petroleum cecair, biodiesel, etanol, hidrogen dan sel bahan api.

Madani menjelaskan, sebagai negara yang memeterai WP29 (World Forum for Harmonisation of Vehicle Regulations), model terbaharu yang bakal diperkenalkan juga dilengkapi ciri keselamatan terkini, yang mana sudah ditawarkan dalam kenderaan mampu milik sejak tahun lalu.

Katanya, walaupun pasaran dijangka masih bertumpu kepada segmen kenderaan penumpang, model kenderaan utiliti sukan (SUV) dijangka menjadi perhatian tahun ini dengan kedua-dua jenama kereta nasional juga mengambil bahagian dalam segmen itu.

“Proton X70 sudah dilancarkan pada Disember lalu dan kita juga bakal melihat SUV terbaharu daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yang dikenali sebagai Aruz tidak lama lagi,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, kenderaan berteknologi tinggi kian mampu dimiliki pada harga kompetitif, disebabkan ekosistem yang berdaya saing, selain kesedaran pengguna dalam sektor automotif.

Mengulas mengenai pelancaran model terkini, tahun 2019 bakal merancakkan lagi saingan dalam kalangan peserta industri automotif di Malaysia apabila pelbagai model baharu bakal diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada tahun ini.

Malah, beberapa syarikat automotif sudah mendedahkan beberapa produk baharu pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) Disember lalu, sekali gus memberi gambaran kepada orang ramai mengenai model kereta yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Segmen SUV dijangka terus menjadi antara segmen pilihan pelanggan di Malaysia, apabila kebanyakan peserta industri dilihat bakal berlumba-lumba memperkenalkan model baharu tahun ini.

Dengan PROTON Holdings Bhd (PROTON) sudah ‘bergaya’ dengan Proton X70, dalam tempoh terdekat PERODUA pula akan tampil dengan SUV baharunya, Perodua Aruz.

Menurut PERODUA, model SUV tujuh tempat duduk yang dijana enjin 1.5 liter itu akan ditawarkan menerusi dua varian iaitu X dan Advance dengan jangkaan harga antara RM72,200 dan RM77,200.

Sementara itu, Honda Malaysia yang memperkenalkan HR-V RS Julai tahun lalu, dijangka melancarkan model itu secara rasmi tahun ini, sekali gus meningkatkan lagi saingan dalam segmen paling dominan di dunia.

Jenama dari Korea Selatan, Hyundai tidak terkecuali akan memperkenalkan SUV terbaharunya iaitu Hyundai Sanfe Fe generasi ke-4 dan Kona, selain bakal tampil dengan model sedan versi terkini, Elantra.

Haval juga dikatakan akan memperkenalkan model SUV ketiganya di Malaysia iaitu Haval H9, manakala jenama automotif premium Jepun, Lexus dijangka hadir dengan SUV kompaknya, UX 200.

Selain SUV, jenama terkemuka dunia bakal membawa masuk beberapa model terkini sedan dan kompak termasuk Kia Cerato dan Picanto GT Line, Ford Mustang versi baharu dan Lexus ES serba baharu.

869 dibaca
Berita Harian X