Rabu, 26 Disember 2018 | 6:56pm
Benelli 502C dibangunkan sebagai jentera cruiser dengan reka bentuk agresif.

Benelli perkenal tiga model baharu

BENELLI, motosikal jenama dari Itali, menyasarkan untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia apabila memperkenalkan tiga model baharu iaitu 502C, Leoncino250 dan TRK251 untuk pasaran tempatan pada tahun depan.

Bermula dengan 502C, ia dibangunkan sebagai sebuah cruiser yang didatangkan dengan reka bentuk agresif, sekali gus bersesuaian dengan penunggang yang gemar menonjolkan gaya dan keanggunan motosikal mereka.

Seperti model motosikal Benelli sedia ada iaitu Leoncino dan TRK502, 502C dilengkapi enjin dua silinder selari DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.

Ia mampu menghasilkan 47.6 kuasa kuda (hp) pada 8,500 rpm dan tork 45 Nm pada 5,000 rpm.

Menerusi reka bentuknya sebagai sebuah cruiser, tempat letak kakinya ditempatkan lebih ke hadapan, manakala tempat duduk pula lebih rendah dan pemegangnnya lebih panjang ke belakang.

Menggunakan rangka tube trellis dengan plat keluli memastikan jentera itu mempunyai kestabilan dalam tunggangannya.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik hadapan 41mm dan 125 mm travel manakala suspensi belakang dilengkapi lengan ayun monoshock dengan spring boleh laras dan travel 50mm.

Kelengkapan lain termasuk rim 17 inci dengan tayar 120/70-R17 di hadapan dan 160/60-R17 di belakang, meter digital, tangki bahan api 21 liter, lampu LEd, brek cakera 260mm depan dan brek cakera 240mm dengan kaliper empat piston di belakang. Ia juga dilengkapi sistem ABS.


Benelli Leoncino 250 menggunakan bentuk naked, menggunakan janaan kuasa sama seperti TRK 251.

Leoncino tampil dengan bentuk naked

Benelli Leoncino 250 pula menggunakan bentuk naked dan dijana enjin satu silinder empat strok DOHC 249cc yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, sekali gus mampu menghasilkan 26.8 hp pada 10,500 rpm dan tork 21 Nm pada 9,000.

Rangkanya direka untuk menyesuaikan pemasangan dan reka bentuk tangki minyak, memberikan tunggangan lebih seimbang dan dinamik. Malah, ia dilengkapi lampu besar hadapan dan lampu siang LED.

Ia juga didatangkan brek cakera depan dan belakang bersama ABS, for hadapan USD 41mm, monoshock di belakang, tangki 12 liter dan rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.


Benelli TRK 251 dikuasakan enjin satu silinder empat strok DOHC 249cc dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Sesuai untuk tunggangan tour

Beralih kepada model TRK 251, ia menggunakan bentuk dan gaya seperti TRK 502, tetapi mempunyai enjin yang lebih kecil.

Dikuasakan enjin satu silinder empat strok DOHC 249cc dengan padanan kotak gear enam kelajuan, ia mampu menghasilkan 26.8 hp pada 10,500 rpm dan 21 Nm tork pada 9,000 rpm.

Menariknya model ini, ia disediakan dengan kelengkapan bersesuaian untuk tunggangan jenis tour, termasuk penghadang angin hadapan tinggi, kedudukan tegak, tangki 17 liter, pengecas USB, lampu hadpaan LED, dan rim 17 inci.

Selain itu, ia dilengkapi fork hadapan USD 41 mm, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang serta sistem ABS.

1044 dibaca
Berita Harian X