Ahad, 23 Disember 2018 | 10:45am
Hyundai Santa Fe baharu mula dijual suku pertama tahun depan.

Hyundai Santa Fe baharu masuk pasaran tahun depan

SEMPENA Pameran Motor Antarabangsa 2018 (KLIMS'18) baru-baru ini, Hyundai-Sime Darby Motors mengesahkan bahawa Hyundai Santa Fe generasi keempat bakal memasuki pasaran tempatan pada tahun depan.

Ia dilaporkan akan mula dijual di Malaysia bermula suku pertama 2019 dengan jangkaan harga pada RM188,000.

Santa Fe baharu untuk pasaran tempatan itu akan ditawarkan menerusi dua pilihan varian iaitu Executive dan Premium dengan janaan enjin petrol 2.4 liter Theta II dan Diesel 2.2 VGT.

Bagi enjin petrol, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan manakala diesel menerima padanan transmisi automatik lapan kelajuan.

Meskipun Santa Fe baharu itu mengekalkan kebanyakan ciri daripada model sebelumnya, ia juga menerima pelbagai penambah baikan dari segi reka bentuk, keselamatan, prestasi, teknologi dan pengalaman pengguna.

Pelbagai sentuhan baharu

Ciri standard yang hadir daripada model sebelumnya adalah enam beg udara, sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Bantuan Mula Mendaki (HSM), Kawalan Brek Menurun Curam (DBC) serta Brek Parkir Elektrik (EPD).

Selain itu, ia dilengkapi Smart Power Tailgate, paparan digital pada kluster instrumen, paparan skrin infotainment tujuh inci yang boleh dihubungkan menerusi Apple CarPlay dan Android Auto serta pengecas telefon tanpa wayar.

Hyundai Santa Fe tawar tujuh tempat duduk yang selesa kepada pemandu dan penumpang. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Dari segi penampilan luaran, ia didatangkan lampu LED DRL yang tirus di atas lampu utama LED dan gril depan dengan rekaan baharu serta lebih besar.

Reka bentuk keseluruhan dari sisi tidak menampilkan perbezaan ketara berbanding model terdahulu, bagaimanapun, ia masih menerima sentuhan baharu pada bahagian reka bentuk tingkapnya.

Di bahagian belakang, terdapat beberapa sentuhan baharu yang boleh dilihat termasuk rekaan lampu dengna grafik berbentuk C bagi menampakkan rekaan 3D selain bahagian bawah bamper yang lebih kemas dengan skid plate lebih besar, lampu undur dan lampu kabus serta rekaan trapezoid pada muncung ekzos.

INFO

• Dua varian ditawar: Executive dan Premium

• Akan dijual bermula suku pertama 2019

• Dilengkapi tujuh tempat duduk

Berita Harian X