Jumaat, 14 Disember 2018 | 4:53pm
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa memberi taklimat Proton SUV X70 kepada peserta Miss Tourism International ke 21 ketika melakukan lawatan di Proton Centre of Exellence. - Foto Owee Ah Chun

X70 buka peluang PROTON tembusi pasaran SUV

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) mahu memanfaatkan potensi pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia yang masih belum ditembusi sepenuhnya oleh syarikat automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata ketika ini jurang penembusan segmen SUV di negara ini masih kecil, sekali gus membuka ruang kepada PROTON berkembang menerusi pengenalan model Proton X70.

“Ketika ini, nisbah segmen SUV di Malaysia kecil dengan 10 kereta yang dijual hanya membabitkan satu unit SUV berbanding pasaran membangun seperti China dan Amerika Utara dengan 10 kereta dijual merangkumi empat unit SUV.

“Berdasarkan senario pasaran global, ia menawarkan ruang besar kepada PROTON untuk memanfaat potensi pasaran di peringkat domestik disokong penawaran Proton X70 iaitu SUV paling pintar yang terdapat di Malaysia,” katanya dalam taklimat kepada 45 peserta Miss Tourism International (MTI) ke-21 yang melakukan kunjungan ke Pusat Kecemerlangan PROTON (COE) di Subang Jaya, hari ini.


Orang ramai meluangkan masa melihat kenderaan SUV pertama oleh Proton hasil kerjasama dengan syarikat kereta Geely dari Cina ia itu X70 yang dilancar tiga hari lalu oleh Perdana Menteri di bilik pameran, Centre of Exellence. Proton SUV X70 mengunakan system kualiti yang baru, proses pengilang baru dan Alliance teknologi baru. - Foto Owee Ah Chun

Rabu lalu, PROTON secara rasminya melancarkan SUV premium pertamanya, Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM99,800 hingg RM123,800.

Model yang dinanti-nantikan oleh pasaran automotif tempatan selepas mula diperkatakan sejak tahun lalu itu ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard 2WD yang dijual pada harga RM99,800; manakala Executive 2WD pula adalah RM109,800; Executive AWD dan Premium 2WD pula masingmasing ditawarkan pada harga bermula RM115,800 dan RM123,800 seunit.

Proton X70 adalah model pertama yang dihasilkan secara bersama oleh PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) serta menjadi SUV premium pertama dikeluarkan oleh jenama automotif Malaysia.

Proton X70 dikuasakan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo TGDI dengan enam kelajuan automatik, yang mampu menghambur kuasa 184 PS pada 5,500rpm dan tork 285Nm dari 1,700-4,400rpm.

Melengkapkan ciri premium, Proton X70 tampil dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) iaitu sistem penghubung pintar yang didatangkan dengan kad eSIM serta dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Ia diakses melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz lapan inci yang dilengkapi ruang memori dalaman 32gb.

Malah, sistem itu juga mempunyai sambungan Wi-Fi, sekali gus membolehkan jentera itu dijadikan sebagai hotspot mudah alih.

Semua varian menerima ciri keselamatan termaju iaitu enam beg udara SRS, ISOFIX, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan daya brek elektronik (EBD), Bantuan Membrek (BA), Kawalan Brek Automatik, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Kawalan Cerun (HHA), Kawalan Menurun Curam (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Proton X70 turut menerima pengiktirafan lima bintang ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Berita Harian X