Selasa, 4 Disember 2018 | 8:33am
PROTON X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Berlumba perkenal model baharu

PROTON X70 terus mencuri tumpuan sepanjang Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sejak pameran dibuka untuk orang ramai pada Jumaat, model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON) terus dikerumuni orang ramai yang ingin melihat Proton X70 dengan lebih dekat.

Tinjauan BH Auto beberapa hari mendapati empat varian yang dipamerkan di tapak pameran Proton bersilih ganti dengan pengunjung yang ingin melihat segenap perincian model yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

PROTON mempamerkan empat varian Proton X70 iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD sempena KLIMS'18 yang berlangsung selama 10 hari sehingga 2 Disember 2018.


ORANG ramai berpeluang melihat dari dekat kereta PERODUA model X-Concept. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

PERODUA ‘tayang’ X-Concept, Myvi GT

Tumpuan pengunjung juga tertumpu PERODUA apabila syarikat automotif tempatan itu menayangkan kereta konsepnya yang dinamakan X-Concept serta Myvi yang diubah suai bergelar Myvi GT.

Mana tidaknya, X-Concept mengetengahkan reka bentuk yang bercirikan futuristik, malah ia dilengkapi pelbagai teknologi terkini, manakala Myvi GT pula menampilkan rupa yang lebih garang dan sporty menerusi pelbagai sentuhan semula.

Ketika ditemubual oleh BH Auto, PERODUA berkata, kedua-dua kereta itu hanya untuk dipamerkan bagi menunjukkan keupayaan syarikat automotif tempatan berkenaan dan ia tiada dalam senarai perancangan untuk dijual dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya maklum balas yang diterima dari orang ramai amat memberangsangkan, syarikat itu akan mempertimbangkan untuk menghasilkan kenderaan berkenaan pada masa akan datang.


HYUNDAI Santa FE. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Santa Fe baharu diperkenal

Selain itu, Hyundai memperkenalkan SUV tujuh tempat duduknya, iaitu model Santa Fe generasi keempat.

Dijadual untuk memasuki pasaran tempatan pada suku pertama 2019, ia ditawarkan menerusi varian Executive dan Premium.

Santa Fe generasi keempat itu turut ditawarkan menerusi dua pilihan janaan kuasa.

Bagi janaan enjin petrol 2.4 liter empat silinder, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, manakala enjin diesel 2.2 VGT dipadankan transmisi automatik lapan kelajuan.

Walaupun ia menerapkan pelbagai ciri fungsi dari model sebelumnya, model baharu itu bagaimanapun menerima beberapa sentuhan baharu untuk bahagian luaran dan dalaman.


KIA tidak ketinggalan untuk mempamerkan Kia Cerato. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Cerato baharu lebih besar

Sementara itu, Kia juga tidak ketinggalan untuk mempamerkan Kia Cerato yang menampilkan pelbagai perubahan berbanding model yang dijual pada masa ini.

Bahagian hadapannya mempunyai gril ‘tiger nose’ versi baharu yang disertakan lampu utama lebih kemas selain dilengkapi lampu siang LED empat garis di dalamnya.

Cerato baharu ini sememangnya lebih besar berbanding model terdahulu dengan ukuran panjangnnya bertambah 81 mm kepada 4,640mm, lebar 1,798 (tambah 18mm) dan tinggi 1,440 (tambah 12.7mm).

Tiada butiran mengenai harga dan janaan kuasa bagi model ini, bagaimanapun ia dijangka akan memasuki pasaran tempatan pada 2019.

1107 dibaca
Berita Harian X