Jumaat, 23 November 2018 | 5:25pm
HONDA PCX Hybrid di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Boon Siew Honda perkenal PCX, Forza, CBR1000RR

KUALA LUMPUR: Sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, Boon Siew Honda melancarkan tiga model motosikal baharu iaitu PCX Hybrid, Forza dan CBR1000RR untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda, berkata PCX Hybrid adalah model skuter transmisi automatik (AT) premium dengan penampilan serba mewah, yang menampilkan teknologi terkini bagi tunggangan lebih selesa.

"Dilengkapi sistem hibrid Honda, PCX Hybrid dikuasakan enjin petrol silinder tunggal empat lejang 150cc dengan sistem penyejukan cecair yang dipadankan bersama bateri lithium-ion ouput tinggi.

"Sebagai sebuah motosikal mesra alam, PCX Hybrid baharu disepadukan dengan ciri Enhanced Smart Power (eSP) yang mengoptimumkan penggunaan bahan api dengan menawarkan prestasi tinggi.


HONDA Forza di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

"Ia juga dibina dengan pelbagai teknologi baharu seperti ISS, Combined Braking System (CBS) dan Honda Smart Key System. Selain itu, ia didatangkan lampu LED, panel meter digital, soket DC dalam kotak konsol untuk kuasa mengecas, dengan tangki minyak berkapasiti lapan liter," katanya.

Bagi model Forza pula, ia hadir dengan penampilan moden dan dikuasakan enjin empat lejang OHC, sistem suntikan bahan api dan penyejuk cecair bersesaran 279cc.

Ia mampu menjana kuasa maksimum 18.5kW pada 7,000 rpm dan tork maksimum 27.2Nm pada 5,750rpm, malah, dengan berat 184 kilogram (kg), Forza menerima rekaan radikal untuk meningkatkan kecekapan dan pecutan maksimum.

Ia juga adalah model AT pertama Honda yang dilengkapi ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta ciri Brek Anti Kunci (ABS), Honda Smart Key System, sistem lampu LED, ruang penyimpanan kargo luas, soket pengecas 12V dan skrin elektrik boleh laras.


HONDA CBR1000RR di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Model AT ini boleh didapati menerusi tiga pilihan warna iaitu putih mutiara, perak metalik dan hitam metalik.Dalam segmen superbike, CBR1000RR Fireblade baharu dikuasakan enjin empat lejang 16 injap DOHC dengan sisten penyejukan cecair berkapasiti 998cc yang mampu menjana kuasa pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000 rpm.

Ia dilengkapi teknologi terkini Honda seperti HSC, Selectable Engine Brake (SEB), ABS, pilihan Quickshifter dengan Downshift Assist, Power Selector, suspensi Showa boleh laras sepenuhnya dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) untuk menawarkan tunggangan lebih mantap.

CBR1000RR Fireblade juga didatangkan Riding Mode Select System (RMSS) yang menawarkan tiga mod dengan kombinasi HSTC, kuasa enjin dan tahap brek enjin. Ia untuk mengubah mod tunggangan berbeza sama ada di litar, jalan berliku dan di jalan raya.

PCX Hybrid dijual pada harga RM13,499; Forza (RM30,999) manakala RM91,999 untuk CBR1000RR.

1181 dibaca
Berita Harian X