Khamis, 22 November 2018 | 8:53pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (dua dari kiri) bergambar bersama Perodua X-Concept di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18). - Foto Syarafiq Abd Samad
PERODUA X-Concept di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18). - Foto Syarafiq Abd Samad

Perodua perkenal inspirasi masa depan X-Concept

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini memperkenalkan X-Concept, kenderaan berkonsepkan pelbagai teknologi ke arah aspirasi dan gaya hidup pada masa depan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata Perodua X-Concept adalah manifestasi kepada visi Perodua pada masa depan, yang mana kereta menjadi gaya hidup yang pertama, cara pengangkutan yang kedua serta dilengkapi dengan teknologi yang disambungkan.

“Pengunjung dialu-alukan untuk berinteraksi kepada pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua untuk memberikan maklum balas dan pandangan dan kami membenarkan orang awam untuk ‘memandu’ dan merasainya sendiri pengalamannya menerusi kehebatan realiti maya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dengan profil hatchback yang dinamik, Perodua X-Concept menampilkan antaranya gril depan yang diterangi LED dan logo Perodua serta lampu depan LED berbentuk Y yang rendah.

Sementara itu bahagian dalaman kereta menampilkan antaranya susun atur papan pemuka yang dilengkapi panel instrumen transistor filem yang nipis serta skrin sentuh berpusat 12.9 inci.

KLIMS18 dibuka kepada orang ramai bermula esok sehingga 2 Disember di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)

-BERNAMA

Berita Harian X