Khamis, 22 November 2018 | 7:37pm
Kereta keluaran terbaru Proton X70 menjadi tarikan orang ramai kerana buat pertama kali dipamerkan sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018.

KLIMS18 medan pengeluar kereta pamer produk terkini

KUALA LUMPUR: Pameran automotif perdana Malaysia membuat kemunculan semula dalam tempoh lima tahun, di tengah-tengah jualan kenderaan yang semakin pulih.

Syarikat pengeluar kereta menjadikan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) untuk mempamerkan tawaran terkini dan istimewa selain memberikan bayangan apa yang boleh dijangkakan untuk tahun depan.

Jenama utama seperti Toyota, Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, dan PROTON semuanya menyertai pameran kali ini demi memastikan mereka tidak ketinggalan di belakang.

Ia memberi isyarat bahawa pasaran Malaysia adalah terlalu penting untuk dilupakan syarikat-syarikat berkenaan.

Jualan kenderaan baharu di negara ini dijangka berkembang 2.3 peratus untuk mencecah 590,000 unit tahun ini.

Sebanyak 502,242 unit kenderaan dijual dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Namun, jualan industri kurang memberangsangkan sejak 2016. Tahun lalu, ia susut 0.6 peratus kepada 576,632 unit.

Pengunjung KLIMS18, antara lain berpeluang menyaksikan sendiri model DS7 Crossback, Hyundai Santa Fe dan Ford Ranger Raptor, yang dijangka membuat kemunculan sulung dalam pasaran tempatan tahun depan.

Model Toyota Camry selain kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 juga diberikan prebiu di pameran ini.

Satu lagi daya tarikan KLIMS18 adalah pameran konsep teknologi baharu iaitu kepintaran buatan, sambungan dan tenaga boleh diperbaharui.

Sejajar dengan temanya “Beyond Mobility”, pengeluar kereta mempamerkan kepelbagaian landskap teknologi powertrain, pendigital dan sambungan.

Ia memberikan petunjuk bahawa syarikat berkenaan mahu memanfaatkan potensi lumayan revolusi digital dalam pasaran baharu seperti Malaysia.

Mereka percaya teknologi digital boleh diperluaskan daripada pembentukan idea kepada pemasaran, di negara ini.

Berita Harian X