Khamis, 22 November 2018 | 6:24pm
Proton X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Proton X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Proton X70 masuk pasaran 12 Disember

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) akan melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, Proton X70 pada 12 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, berkata pelancaran model terbaharunya itu dijangka akan meningkatkan lagi jualan PROTON pada tahun ini dan mengukuhkan kedudukan syarikat pada 2019.

"Kita telah mengecap beberapa kejayaan dalam Proton X70 walaupun ia belum dilancarkan sepenuhnya lagi seperti pengesahan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan ASEAN NCAP. Pelbagai usaha telah dilakukan kami bagi membuktikan model baharu ini akan memberikan perubahan besar kepada syarikat.

Proton X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

"Bagi membuktikan kesungguhan kami dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan, mereka yang membuat tempahan awal model X70 akan menerima kenderaan mereka sejurus selepas pelancaran diadakan," katanya pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ketua Kejuruteraan PROTON, Yang Jun, memberi bayangan syarikat automotif negara itu bakal memperkenalkan model baharu dengan kapasiti 1.5 liter dalam tempoh waktu terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada kapasiti itu bagi model baharu atau bagi model Proton X70 bagi memberikan lebih peluang kepada pelanggan menikmati subsidi petrol.

Ini rentetan mekanisme subsidi baharu dari kerajaan yang membolehkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Mekanisme baharu itu dijangka bermula pada suku kedua 2019.

Perkara itu turut dipersetujui Ketua Reka Bentuk PROTON, Azlan Othman yang menyatakan tidak mustahil jika model baharu PROTON itu menumpukan kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) atau kenderaan pacuan empat roda.

Proton X70 di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di MITEC. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

"Kita masih akan mengekalkan produk sedia ada dan akan terus menumpukan inovasi rekaan seperti Proton Saga.

"Namun kita juga tidak boleh menolak kemungkinan mengikuti permintaan pelanggan yang lebih ke arah kenderaan SUV. Kita juga perlu ikut produk baharu yang ada," katanya.

Berita Harian X