Jumaat, 16 November 2018 | 3:50pm
Proton X70 peroleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP.

Proton X70 peroleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP

KUALA LUMPUR: Proton X70, model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama PROTON Holdings Bhd (PROTON) berjaya memperoleh pengiktirafan lima bintang ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata pengiktirafan itu sekali gus menunjukkan model terbaharu PROTON berkenaan antara model yang menduduki barisan tertinggi dalam segmennya bagi keselamatan penumpang.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha barisan jurutera serta pereka bentuk PROTON dalam memberi perhatian kepada setiap butiran untuk memastikan Proton X70 menerima markah tinggi berdasarkan protokol ujian terkini bagi tahun 2017-2020.

“Berdasarkan protokol baharu itu, teknologi bantuan keselamatan kini diambil kira dan dinilai sebanyak 25 peratus daripada markah keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata, sejak 2012, PROTON memperkenalkan struktur badan Pembentukan Tekanan Panas (HPF), yang digunakan untuk membentuk kerangka kereta penumpangnya, sekali gus membolehkan model baharu itu menawarkan tahap perlindungan tinggi kepada pengguna.

“Dengan kerangka HPF dilengkapi dengan enam beg udara bagi semua varian, titik penahan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX serta tali pinggang keledar dengan sistem pemegang dan pengehad beban, Proton X70 menerima markah sempurna untuk ujian kesan sampingan serta teknologi perlindungan kepala.

“Selain itu, SUV ini juga adalah model pertama PROTON yang dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan keselamatan termasuk Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Tukar Lorong (LDW) dan Sistem Amaran Titik Buta (BLIS).

“Malah, ia juga dilengkapi pelbagai ciri kemudahan seperti arahan suara, Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC) dan kamera 360 darjah untuk pemanduan selamat di kawasan sempit,”k katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Proton X70 akan membuat penampilan terbuka di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018.

“Sebanyak lima unit akan dipamerkan dan pengunjung dijemput untuk melihat lebih dekat SUV premium segmen C ini.

“Terdapat juga ruangan paparan khas untuk memperlihatkan aspek teknologi, keselamatan prestasi model terbabit,” katanya.

KLIMS akan diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 23 November hingga 2 Disember depan.

Berita Harian X