Jumaat, 9 November 2018 | 5:06pm
DUTA Malaysia ke Mesir, Mohd Haniff Abd Rahman, meninjau cawangan 4S PROTON dibuka oleh Alpha Group Ezz Elarab di Mesir.

PROTON rancang mula operasi CKD di Mesir

KAHERAH: PROTON Holdings Bhd (PROTON) merancang memulakan operasi model pemasangan tempatan (CKD) di Mesir dalam langkah memperkukuhkan lagi kedudukannya di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata dengan mewujudkan operasi CKD, PROTON akan dapat memanfaatkan insentif pemasangan tempatan dan Mesir dapat dijadikan hab serantau untuk pasaran rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA).

Bagaimanapunm katanya strategi yang dirancang memerlukan pengambilan beberapa langkah penting termasuk kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan ia menjadi pelaburan ekonomi munasabah kepada semua pihak yang terbabit.

“Tahun 2019 akan memperlihatkan perubahan besar pasaran automotif Mesir dengan pengurangan cukai import untuk kenderaan Eropah yang secara beransur-ansur akan membawa kepada harga yang lebih rendah dan akan menjadi pilihan pengguna.

“Bagi mengatasi cabaran itu, PROTON mempertimbangkan pelbagai strategi termasuk memulakan operasi CKD bersama rakan kongsi di Mesir,” katanya dalam satu kenyataan.

Li berkata, dalam jangka masa pendek bagi pasaran Mesir, PROTON memperkenalkan model baharunya serta menaik taraf bilik pameran yang terletak di Kaherah.

Beliau berkata, model yang dilancarkan di Mesir itu adalah permulaan penjenamaan semula PROTON di pasaran negara berkenaan.

Katanya, aktiviti susulan harus dilaksanakan bagi memastikan momentum jualan berterusan dan berharap proses CKD dapat dimulakan selepas itu.

“Matlamat kami dengan operasi CKD di Mesir, ia tidak akan hanya terhad kepada pasaran tempatan kerana kami juga akan cuba memenuhi permintaan dari seluruh negara MENA,” katanya.

PROTON memperkenalkan model baharu ke pasaran Mesir di cawangan 4S baharu di Smart Village, Abbou Rawash, Giza.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu Yuan bersama Pemilik Alpha Ezz Elarab, Hisham Ezz Elarab dan disaksikan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Mohd Haniff Abd Rahman.

Sebanyak 246 buah kereta Proton terdiri daripada pemanduan sebelah kiri model Proton Saga dan Proton Exora tiba di Mesir bulan lalu.

Pengedaran kereta terbabit akan diuruskan oleh pengimport tunggal Proton di Mesir, Alpha Ezz Elarab yang akan menjalankan penghantaran ke tujuh pusat cawangan dan pengedar di sana.

Sementara itu, Xu Yuan berkata, Alpha Ezz Elarab menyasarkan jualan sebanyak 1,400 unit bagi 2019, yang juga sasaran mampu dicapai di mana Saga dan Exora Plus baharu akan mula dijual pada pertengahan tahun hadapan.

“Mesir berpotensi memainkan peranan besar dalam membantu PROTON mencapai sasaran jualan masa hadapannya dengan meningkatkan jumlah jualan eksport kami.

“Syarikat dan pengimport di Mesir perlu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi apabila produk diperkenalkan beserta harga yang sesuai untuk pembeli di sini.

“Sekiranya kami mampu melakukannya dan dapat menyerahkan kereta tepat pada masanya, maka kami boleh berjaya,” katanya.

413 dibaca
Berita Harian X