Jumaat, 2 November 2018 | 11:46am
MODEL facelift Mercedes-AMG C43 (kiri), Mercedes-Benz C300 AMG Line (tengah) dan C200 Avantgarde Line dilancar untuk pasaran tempatan.

Model facelift C-Class Mercedes-Benz dilancar

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan enam model facelift C-Class terdiri daripada versi sedan dan coupe iaitu Mercedes-Benz C200 Avantgarde Line, C300 AMG Line dan Mercedes-AMG C43 yang menampilkan pelbagai pembaharuan untuk pasaran tempatan.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine, berkata C-Class baharu itu kini menampilkan sistem bantuan pemanduan Mercedes-Benz yang terkini sekali gus meningkatkan tahap keselamatan aktif berbanding model sebelum ini.

"Mercedes-Benz C-Class baharu ini menampillan reka bentuk yang ditambah baik, sistem infotainment digital generasi baharu, sistem bantuan keselamatan dan enjin yang lebih dinamik.

"Mercedes-Benz C200 dan 300 dikuasakan enjin M264 pengecas turbo empat silinder baharu kapasiti 1.5 liter bersama sistem elektrik EQ Boost 48 volt (untuk C200) dan 2.0 liter (C300). Kedua-dua varian itu dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic

sembilan-kelajuan

"Mercedes-AMG C43 pula dikuasakan enjin V6 bi-turbo dengan kuasa output 390 kuasa kuda (hp), 23hp lebih tinggi berbanding sebelum ini, serta tork maksimum 520Nm," katanya pada majlis Pelancaran Mercedes-Benz C-Class, di sini.

Antara pembaharuan pada bahagian luaran membabitkan rekaan bamper baharu seperti ruang aliran udara di tengah yang kini lebih tirus memberikannya penampilan lebih sporty.

Selain itu, varian AMG Line didatangkan gril diamond sebagai standard.Mercedes-Benz C200 dilengkapi lampu LED berprestasi tinggi untuk lampu utama dan lampu belakangnya manakala C300 dan C43 menggunakan sistem lampu utama Multibeam LED yang menawarkan oenglihatan optimum dalam semua keadaan.

Di bahagian dalaman, pembaharuan ketara membabitkan stereng, panel instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan gaya paparan pilihan Classic, Sport dan Progressive.

Selain itu, ia juga dilengkapi paparan media resolusi tinggi bersaiz 10.25 inci di tengah.

Generasi C-Class baharu itu turut dilengkapi sambungan integrasi untuk menghubungkan telefon pintar dengan sistem media menerusi Apple Car Play dan Android Auto.

Selain itu, C-200 Avantgarde juga menampilkan bantuan titik buta yang berfungsi pada kelajuan 10 hingga 200 kilometer sejam.

Bagi varian C300 dan C43 pula, ia didatangkan Active Lane Keeping Assist yang membantu memberi amaran kepada pemandu sekiranya kenderaan semakin terkeluar daripada lorong dengan tidak sengaja pada kelajuan 60 hingga 200 km/j.Untuk versi sedan, Mercedes-Benz C200 Avantgarde dijual pada harga RM259,888, C300 AMG Line (RM304,888) manakala Mercedes-AMG C43 pada harga RM421,888.

Versi Coupe pula dijual pada harga RM346,888 untuk C200 Avantgarde, RM416,888 (C300 AMG Line), dan AMG C43 pada harga RM577,888.

Harga tidak termasuk insurans.

77 dibaca
Berita Harian X