Selasa, 23 Oktober 2018 | 9:00am
Pratonton media kedua untuk Proton X70 memperkenalkan sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI). - Foto NSTP
CORONG pendingin hawa untuk penumpang tempat duduk belakang serta dilengkapi dua port USB. - Foto NSTP

Proton X70 dilengkapi GKUI

SEBELUM ini, PROTON Holdings Bhd memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya menerusi sesi pratonton media yang diadakan bulan lalu.

Menerusi sesi pratonton itu, hanya beberapa butiran yang dikongsi mengenai model berkenaan seperti reka bentuk, teknologi yang diguna pakai serta jumlah varian yang bakal ditawarkan untuk pasaran. Bagaimanapun, harga dan tarikh pelancarannya masih belum didedahkan.

Baru-baru ini, PROTON mengadakan satu lagi sesi pratonton untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai X70 khususnya infotainment yang dilengkapi Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

Sistem penghubung pintar GKUI

Sistem itu didatangkan dengan kad eSIM serta dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Ia diakses melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz lapan inci yang dilengkapi ruang memori dalaman 16gb. Malah, sistem itu juga mempunyai sambungan Wi-Fi, sekali gus membolehkan jentera itu dijadikan sebagai hotspot mudah alih.


METER digital yang memaparkan maklumat penting mudah difahami dan mesra pengguna. - Foto NSTP

Menggunakan sistem pengendalian Android, ia turut mempunyai tetapan 'mirror link' yang membolehkan pengguna menggunakan aplikasi telefon bimbit mereka menerusi skrin sentuh X70. Bagaimanapun, pilihan itu tidak boleh dilaksanakan pada sistem operasi IOS.

Selain itu, GKUI turut membolehkan pengguna mengubah beberapa tetapan seperti sistem tingkap, penyaman udara, serta mengakses aplikasi navigasi secara lisan. Pengguna hanya perlu menyebut frasa 'Hi Proton' untuk mengaktifkan arahan suara berkenaan.


DENGAN GKUI pengguna boleh mengubah beberapa tetapan secara lisan. - Foto NSTP

Namun begitu, arahan suara GKUI hanya diprogramkan dalam bahasa Inggeris dan PROTON kini dalam proses membangunkan sistem itu untuk bahasa Thailand dan Indonesia.

Menariknya sistem itu, ia juga dilengkapi arahan pratetap seperti 'I am hungry' (mengaktifkan pilihan navigasi ke tempat makan berhampiran), 'It's too cold' (mengubah tetapan penyaman udara) atau 'I want to see the stars' (membuka tingkap sunroof).

Untuk ciri-ciri lain, X70 juga dilengkapi enam port USB 2.1A dan navigasi GPS menggunakan Baidu Map yang turut memaparkan keadaan trafik semasa.

Dari segi audio, varian standard 2WD, Executive 2WD dan Executive Premium AWD didatangkan enam speaker, manakala Premium 2WD dilengkapi sembilan speaker dengan tambahan subwoofer yang dipasangkan di but.

Terdapat juga aplikasi mudah alih Proton Link yang membolehkan pemilik menyemak status kenderaan seperti jarak perjalanan, tahap bahan api, odometer, kelajuan purata, indikasi servis, lokasi kenderaan serta penggunaan data.


SISTEM maklumat yang dilengkapi aplikasi mudah alih Proton Link memberi kemudahan kepada pengguna. - Foto NSTP

Baru-baru ini, PROTON turut melancarkan platform tempahan dalam talian dengan bayaran hanya RM99 bagi Proton X70 bagi meningkatkan akses pelanggan kepada model terbaharu pengeluar kereta nasional itu.

INFO GKUI

Diprogramkan dalam bahasa Inggeris

Menggunakan sistem operasi Android

Dilengkapi tetapan mirror link

Boleh diakses menerusi arahan suara (dengan arahan pratetap)

Menampilkan skrin 8 inci, memori 16gb dan WiFi

1601 dibaca
Berita Harian X