Isnin, 22 Oktober 2018 | 9:00am
Hyundai-Sime Darby Motors akan melancarkan Hyundai Tucson yang dinaiktaraf pada akhir bulan ini. - Foto NSTP
Hyundai Tucson Diesel. - Foto Salhani Ibrahim

Hyundai Tucson dipertingkatkan masuk pasaran bulan ini

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) utamanya yang dipertingkatkan, Hyundai Tucson akhir bulan ini.

Model berkenaan yang sudah dibuka untuk tempahan akan ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.6 liter Turbo dan 2.0 liter Elegance.

Menurut HSDM, Hyundai Tucson baharu itu dijangka ditawarkan pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula RM123,888 bersama jaminan lima tahun atau 300,000 kilometer (km) serta servis percuma tiga tahun atau 50,000 km.

Bagi model yang dinaiktaraf itu, ia menerima bampar baharu dan juga lampu hadapan LED yang direka semula.

Gril ‘cascading’ pada SUV itu juga ditukar kepada unit yang lebih bersegi, lampu belakang diberi sentuhan semula dengan bentuk dan grafik yang sedikit berbeza serta rim bersaiz 17 inci bergantung kepada varian.


Hyundai Tucson 1.6 Turbo. - Foto Salhani Ibrahim

Hyundai Tucson 1.6 Turbo. - Foto Salhani Ibrahim

Kelainan ruang kabin

Bagi aspek dalaman pula, Tucson yang dinaiktaraf ini diberi perubahan pada bahagian papan pemuka, di mana ia kini diberikan skrin infotaimen bersaiz tujuh inci dan liang penghawa dingin baharu.

“Tucson yang dinaiktaraf ini lebih menarik berbanding model sebelumnya, sekali gus akan kekal menjadi SUV paling popular di Malaysia.

“Kami menjangkakan maklum balas positif ke atas versi terbaharu ini dan memenuhi setiap aspek yang dikehendaki pelanggan,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Motor bagi Malaysia, Thailand dan Taiwan, Dennis Ho.

Dari segi rangkaian kuasa pula, varian 1.6L Turbo akan menghamburkan 177PS dan tork maksimum 265Nm daripada 1,500 hingga 4,500 rpm, manakala 2.0L Elegance pula mencetuskan kuasa 155PS dan tork 192Nm pada 4,000 rpm.

INFO: Hyundai Tucson 1.6L Turbo

Harga anggaran bermula RM123,888

177PS, tork 265Nm

Hyundai Tucson 2.0L Elegance

Harga anggaran bermula RM123,888

155PS, tork 192Nm

Berita Harian X