Ahad, 21 Oktober 2018 | 10:24am
Jaguar F-Type Coupe dilancarkan untuk pasaran Malaysia. - Foto NSTP

Jaguar F-TYPE Coupé versi 2018 masuk Malaysia

JAGUAR Land Rover Malaysia memperkenalkan model Jaguar F-TYPE Coupé versi 2018 untuk pasaran di negara ini.

Versi terkini untuk pasaran tempatan itu hadir dengan rekaan baharu bagi lampu depan dan belakang serta bampar juga dipertingkatkan.

Sejak dilancarkan pada 2012. F-TYPE, model dua tempat duduk itu menempatkan kedudukannya yang kukuh dalam segmen kereta sport selain memenangi lebih 170 anugerah di peringkat global.

F-TYPE Coupé merangkumi visi reka bentuk tanpa berkompromi dengan kereta konsep Jaguar C-X16 yang membuat kemunculan pertama pada Frankfurt Motor Show 2011.

Kepakaran Jaguar dalam teknologi aluminium membolehkan visi reka bentuk F-TYPE Coupé disampaikan dalam rangka badan ringan namun sangat kukuh.

Jaguar F-TYPE Coupé adalah kereta sport berprestasi yang ideal kerana kelebihan dan keupayaannya untuk memenuhi tuntutan jalan raya dan pemandu.

Dengan enjin 300PS 2.0 Liter pengecas turbo Ingenium yang membawa DNA kereta sport Jaguar, F-TYPE Coupé mampu menjangkaui pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.7 saat dengan kuasa maksimum 250 km/j.

Enjin ini juga menawarkan tork maksimum tinggi iaitu 400Nm pada 1,500 rpm.


Jaguar F-Type Coupe dilancarkan untuk pasaran Malaysia. - Foto NSTP

Terima beberapa pembaharuan

Melengkapi pembaharuan model itu adalah rim 18 inci rekaan baharu serta warna luaran baharu iaitu Silicon Silver.

Bahagian dalaman pula, Jaguar F-TYPE Coupé kini dilengkapi dengan tempat duduk slim-line yang ringan, dengan menggunakan aloi magnesium die-cast sebagai kerangka tempat duduk bagi penjimatan berat sekitar 18 kilogram (kg) berbanding sebelum ini.

Kemasan baharu juga kelihatan pada dua tempat duduk dengan sentuhan krom dan aluminium, selain skema warna luaran bagi model ini turut dipertingkatkan lagi dan kini kulit Siena Tan didatangkan sebagai pilihan.

Elemen standard yang turut ditampilkan kini termasuklah sistem infotainmen Touch Pro dengan skrin sesentuh 10-inci. Sistem ini menampilkan prosesor quad-core yang lebih berkuasa, 60 GB solid-state drive (SSD) berkelajuan tinggi dan rangkaian Ethernet pantas, termasuk lain-lain kelengkapan.

Jaguar F-TYPE Coupé ditawarkan pada harga atas jalan tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans RM575,800.

Jaguar Land Rover Malaysia turut menawarkan program ‘Jaguar Care’ untuk model ini bersama waranti lima tahun atau perbatuan 150,000 km dan penyelenggaraan lima tahun atau 65,000 km (yang mana dulu) serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.


Jaguar F-Type Coupe dilancarkan untuk pasaran Malaysia. - Foto NSTP

INFO: Jaguar F-TYPE Coupe

→ Enjin 300PS 2.0 Liter pengecas turbo Ingenium yang membawa DNA kereta sport Jaguar, F-TYPE Coupe mampu menjangkaui pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.7 saat dengan kuasa maksimum 250 km/j.

Berita Harian X