Isnin, 8 Oktober 2018 | 1:27pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kiri), Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia, Heinrich Schromm dan Naib Presiden Penjualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine (kanan) di I'Espace, Kota Damansara. - Foto Sairien Nafis

Mercedes-Benz Msia sasar jualan lebih tinggi

PETALING JAYA: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menjangka mencapai jumlah jualan yang lebih tinggi pada tahun ini, berbanding 12,045 unit yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata sejak awal tahun hingga kini, MBM berjaya menyerahkan sebanyak 10,143 unit kenderaan kepada pelanggannya, menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi itu menunjukkan MBM berada di landasan tepat untuk mengatasi rekod jualan yang dicapai pada 2017.

“Kami yakin jualan akan terus meningkat apabila MBM bakal memperkenalkan enam lagi model baharu terdiri daripada model kompak, kenderaan utiliti sukan (SUV), limosin dan dream car pada tahun ini,” katanya pada sidang media Prestasi Suku Ketiga 2018 MBM, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine dan Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan MBM, Heinrich Schromm.


Naib Presiden, Perkhidmatan Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia, Encik Heinrich Schromm (kanan) dan Naib Presiden, Penjualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Encik Mark Raine semasa pelancaran Mercedes AMG E 53 dan Mercedes AMG E 53 Coupe di I'Espace, Kota Damansara. Foto Sairien Nafis

Weidner berkata, sehingga suku September lalu, MBM mencatat jualan 6,344 unit untuk limosin C-Class, E-Class dan S-Class yang dipasang secara tempatan (CKD) manakala kereta kompak premium seperti A-Class, B-Class, GLA-Class dan CLA-Class sebanyak 1,268 unit.

“Kedua-dua segmen itu merekodkan peningkatan 21.1 peratus dan empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“SUV premium Mercedes-Benz kekal mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 1,960 unit dijual, naik 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penguasaan pasaran MBM juga meningkat kepada 2.5 peratus pada suku ketiga 2018, naik 0.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Untuk prestasi perkhidmatan kami, rangkaian pengedar MBM mencatatkan jumlah servis 109,927 daripada 31 pusat servis di seluruh negara.

“Ini menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tempoh sama 2017,” katanya.

25 dibaca
Berita Harian X