Rabu, 5 September 2018 | 4:56pm

Perodua perkenal Alza wajah baharu

RAWANG: Perodua Sales Sdn Bhd, memperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk, Alza dengan ciri baharu dan nilai yang lebih baik.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Zahari Husin, berkata Perodua Alza baharu itu menawarkan keselesaan, praktikaliti, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh orang menjadikan ianya MPV yang digemari dan menjadi pilihan rakyat Malaysia selama hampir sedekad.

“Dengan ruang simpanan yang banyak serta konfigurasi tempat duduk yang fleksibel, Alza terbaharu ini sesuai untuk aktiviti keluarga dan penggunaan harian.

“Selain itu, sebanyak 344,200 unit Alza telah dijual sejak pengenalan model itu pada 2009,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harga Perodua Alza baharu itu bermula dari RM51,490 hingga RM62,690 (atas jalan tanpa insurans) dan didatangkan dalam varian Standard (MT), Standard (AT), SE (AT) dan Advance (AT).

Semua varian dikuasakan dengan enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT yang disambungkan kepada transmisi manual lima kelajuan pada Standard MT dan transmisi automatik empat kelajuan pada varian yang lain.

Untuk ciri keselamatan, Perodua Alza baharu dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (Brake Assist) dan poin ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah, memberikan model ini penarafan keselamatan empat bintang oleh ASEAN NCAP.

Zahari berkata, tempahan Perodua Alza baharu kini dibuka dan terdapat di bilik pameran Perodua di seluruh negara secara berperingkat mulai esok.

Perodua Alza baharu ditawarkan dengan jaminan lima tahun/150,000km (yang mana terdahulu).

Antara warna yang ditawarkan termasuk Granite Grey (warna baharu dan eksklusif untuk varian SE dan Advance), Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple dan Electric Blue.

Semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang dan aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.

Varian Standard dan SE dilengkapi dengan sistem audio baru dengan fungsi USB dan Bluetooth, manakala varian SE dan Advance kali ini tampil dengan lebih berani dan menonjol, dengan adanya bumper depan, gril depan bar berkembar dan skirt sisi baharu.

1302 dibaca
Berita Harian X