Khamis, 2 Ogos 2018 | 2:04pm
‚ÄčNISSAN Navara terbaru dari Edaran Tan Chong Motor.

ETCM tampil varian baharu Navara VL Plus

KUALA LUMPUR: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan varian terbaharu kepada siri Navara, dikenali sebagai Nissan Navara VL Plus yang dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM) dan sistem keselamatan yang dipertingkatkan.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Christopher Tan, berkata varian Navara VL Plus kini dipasang dengan "Intelligent Around View Monitor" (I-AVM), teknologi NIM yang menggunakan empat unit kamera bagi pandangan 360 darjah dari atas kenderaan bagi memudahkan navigasi di kawasan sempit dan ketika parkir.

Beliau berkata, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara SRS (dua di hadapan, sisi, jenis curtain dan lutut pemandu) sebagai perlindungan tambahan manakala Speedometer Digital bersama Advance Driver-Assist Display (ADAD) memberikan pemanduan lebih mudah.

"Pelancaran Navara Plus memberikan pengalaman pemanduan serba baharu, kehidupan dengan lebih keterujaan, keyakinan dan terhubung dengan dunia di sekeliling.

"Kini pengguna boleh memilikinya yang ditampilkan dengan teknologi NIM ditawarkan melalui I-AVM yang boleh didapati pada tiga model terlaris kami iaitu X-Trail, Serena S-Hybrid dan terkini, Navara," katanya dalam satu kenyataan.

Navara VL Plus turut menjanjikan prestasi pemanduan dinamik dengan enjin diesel 2.5 liter turbo intercooler yang mampu menjana kuasa sehingga 190 PS dan tork 450Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama mod manual yang pertama dalam kelasnya untuk pecutan lebih lancar.


‚ÄčNISSAN Navara terbaru dari Edaran Tan Chong Motor.

Tan berkata, ia juga adalah trak pikap pertama Jepun di Malaysia yang dipasang dengan Sistem Suspensi Belakang Multi-Link yang menawarkan pemanduan selesa dan pengendalian luar biasa, sama seperti sebuah SUV.

"Bersama dengan tempat duduk yang diinspirasikan daripada sifar graviti, keselesaan dipertingkatkan kerana membantu menghilangkan kepenatan pemandu semasa perjalanan yang jauh.

"Sama ada untuk kegunaan rekreasi atau perniagaan, Navara adalah pikap dwi kabin yang dipercayai mampu membawa beban maksimum seberat satu tan," katanya.

Nissan Navara VL Plus hadir dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km dan boleh didapati dalam pakej Black Series.

Varian baharu itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans pada harga bermula pada RM119,869.08 manakala bagi pakej Black Series, ditawarkan bermula pada RM123,642.67.

Berita Harian X