Isnin, 16 Julai 2018 | 5:07pm
THE Scalper bakal beri saingan dalam segmen 800cc.

KTM 790 Duke masuk Malaysia

BERITA gembira buat peminat motosikal KTM apabila model yang dinanti-nantikan, KTM 790 DUKE tiba di pasaran tempatan.

Selepas menguasai pasaran 700cc di Malaysia menerusi silinder tunggal KTM 690 Duke, KTM 790 Duke disasarkan untuk meluaskan penguasaan kepada segmen menengah 800cc.

Digelar sebagai 'The Scalper', KTM 790 Duke dijamin menawarkan kepuasan kepada penunggang menerusi prestasinya yang mantap, malah, ia juga sesuai untuk kegunaan harian berikutan ergonomiknya yang baik.

Penghasilan KTM 790 Duke, sekali gus membawa syarikat permotoran Austria itu ke fasa baharu apabila ia adalah model pertama yang dihasilkan syarikat berkenaan bawah 1,000cc yang menggunakan tetapan dua silinder selari.

Enjin 799cc

Enjin yang menguasai jentera itu mempunyai kapasiti 799cc, serta dipadankan kotak gear enam kelajuan bersama klac slipper PASC, mampu menghamburkan kuasa 105hp pada 9,000rpm dan 87Nm tork pada 8,000rpm.

Gabungan enjin dan kerangka enjin yang lebih ringan berjaya mengurangkan berat kering jentera itu kepada 169 kilogram (kg).

Selain itu, KTM 790 Duke juga didatangkan tempat duduk yang rendah pada 825mm, yang mana ia selesa untuk ditunggang oleh penunggang dari pelbagai segmen motosikal.

Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal itu, termasuk fork WP43 mm di hadapan, monoshock belakang WP dengan pelarasan prabeban, brek cakera 300mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, cakera 240mm dengan angkup satu piston di belakang dan tangki bahan api 14 liter .

Teknologi Ride-by-Wire

Selain itu, ia turut dilengkapi pakej elektronik seperti Ride-by-Wire, Motorcycle Traction Control (MTC) yang sensitif kepada kecondongan motosikal, ABS membelok, Motor Slip Regulation (MSR) untuk mengawal brek enjin dan Quickshifter+.

Malah, seperti keluaran terkini motosikal KTM, KTM 790 Duke turut didatangkan paparan TFT berwarna, termasuk sambungan kepada telefon bimbit menerusi sistem KTM My Ride.

Harga rasmi yang dikeluarkan untuk motosikal naked ini adalah RM64,900 dan ia tidak termasuk insurans serta kos pendaftaran lain.

31 dibaca
Berita Harian X