Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:21pm
FOTO hiasan.

Mercedes-Benz Msia catat jualan 6 bulan tertinggi

MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) meneruskan momentum pertumbuhan positif dalam segmen kenderaan premium di Malaysia selepas mencatat jualan 6,790 unit bagi tempoh separuh pertama tahun ini, tertinggi dalam tempoh enam bulan sejak ia ditubuhkan pada 2003.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine, berkata rekod jualan tertinggi itu turut mengatasi jumlah dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu itu 5,913 unit atau 15 peratus.

Ia sekali gus menyaksikan pengeluar kereta premium itu berada pada landasan tepat untuk mencipta satu lagi rekod jualan tertinggi bagi setahun penuh.

Katanya, dengan jualan positif yang dicatatkan syarikat itu kekal menjadi jenama kenderaan premium nombor satu di Malaysia.

"Kami meraih penguasaan pasaran 2.5 peratus setakat ini daripada 2.3 peratus pada tahun lalu. Lebih lima model dan varian lagi dalam empat segmen kami akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia," katanya kepada media selepas majlis pengumuman prestasi jualan separuh pertama 2018 dan pelancaran Mercedes-Benz E 300 AMG Line di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner; Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM), Mike Ponnaz; dan Naib Presiden Perkhidmatan Selepas Jualan MBM, Heinrich Schromm.

Bagi tempoh separuh pertama 2018, MBM menjual, 4,322 unit model limosin pemasangan tempatan (CKD), sekali gus menjadi penyumbang terbesar dalam jualan keseluruhan bagi tempoh dikaji, diikuti model SUV premium (1,291 unit).

Bagi model kompak pula, rangkaian varian itu menyumbang jualan 996 unit bagi tempoh setengah tahun 2018 dan model kereta impian mencatat jualan 181 unit.

Setakat ini MBM memiliki 34 autohaus daripada sembilan kumpulan pengedar utama di Malaysia, manakala ia menawarkan lebih 23 model dan 53 varian di pasaran domestik.

Sementara itu, Weidner berkata, MBM juga meninjau pelan strategik untuk meningkatkan pengeluaran jenama itu di kilang pengeluaran di Pekan, Pahang mengikut keperluan dan lonjakan permintaan pelanggan.

"Kami menyelaras pengeluaran kenderaan di Pekan berdasarkan permintaan. Sebagai pelabur, kami melihat peluang perniagaan di Malaysia dan berlandaskan permintaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, MBM turut melancarkan model Mercedes-benz E 300 AMG Line yang ditawarkan pada harga dari RM388,888 yang menggantikan model E 350 e plug-in hibrid bagi menyertai model paling pintar iaitu E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde, E 250 Exclusive, Mercedes-AMG E 43 dan Mercedes-AMG E 63 S.

Info:

* Jualan 6 bulan 2018 - 6,790 unit

* Jualan 6 bulan 2017 - 5,913 unit

15 dibaca
Berita Harian X