Selasa, 12 Jun 2018 | 3:44pm

Jualan PROTON pada Mei meningkat

KUALA LUMPUR: PROTON mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 2.3 peratus kepada 4,091 unit pada Mei 2019 berbanding 3,999 unit pada bulan sebelumnya, di sebalik sentimen pasaran yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa, berkata peningkatan prestasi jualannya itu sebahagian besar adalah disebabkan pengumuman kerajaan mengenai pengurangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus.

Abdul Rashid berkata, selain itu, promosi Kosong-kosong PROTON yang memberikan pembiayaan sifar peratus untuk tahun pertama dan ansuran tiga bulan percuma kepada pelanggan, turut menyumbang kepada peningkatan itu.

"Kebanyakan jualan unit kenderaan kami bertumpu kepada penghujung Mei dengan model Saga dan Persona menguasai 70 peratus daripada jumlah jualan untuk bulan berkenaan.

"PROTON mencatatkan pegangan pasaran tidak rasmi sebanyak 8.8 peratus daripada peningkatan bilangan jualan itu. PROTON akan terus berusaha untuk memberikan tawaran terbaik kepada pelanggan kerana kami sedar bahawa memiliki produk yang baik saja tidak mencukupi sekiranya tiada daya tarikan tambahan ditawarkan untuk menarik pelanggan berkunjung ke bilik pameran.

"Oleh itu, kami telah melaksanakan beberapa langkah dan usaha yang tepat dalam meningkatkan mutu produk, tawaran yang menarik untuk memudahkan pemilikan kereta dan penambahbaikan pengedar ke pusat 3S dan 4S yang akan membantu menghadapi cabaran pasaran dengan lebih positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata, sempena pengurangan GST dan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, PROTON menjalankan promosi Duit Raya yang membolehkan pelanggan memiliki model Saga dengan harga di bawah RM30,000 (harga jualan bersih).

Selain itu katanya, pelanggan boleh menikmati penjimatan lebih daripada enam peratus atau sehingga RM4,000 untuk model Iriz dan Ertiga manakala RM3,000 untuk model Persona.

Katanya, penjimatan yang ditawarkan itu adalah tambahan kepada GST berkadar sifar.

Sebagai sebuah badan korporat yang bertanggungjawab, PROTON berkata, pihaknya juga akan menyumbang sebanyak RM10 bagi setiap unit kenderaan yang dijual bermula hari ini hingga 31 Disember 2018 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Berita Harian X