Sabtu, 2 Jun 2018 | 3:55pm
KONSEP Ultimate Street Fighter. - Foto Supian Ahmad

Yamaha MT09 lebih ganas

GENRE motosikal pejuang jalanan atau 'street fighter' Yamaha MT09 2018 tidak hanya tampak garang, tetapi kuasanya mampu menyengat dengan agresif sebaik sahaja ia diperlukan. Ini kesimpulan yang dapat diberikan selepas menunggang uji model itu baru-baru ini.

Dengan konsep 'Ultimate Street Fighter', model hiper naked dalam siri MT09 yang menjengah pasaran pada Januari lalu itu hadir dengan pelbagai teknologi termaju Yamaha yang dipertingkatkan daripada model sebelumnya.

Biarpun ada yang menyifatkan MT09 adalah lebih menjurus kepada 'roadster motard' berbanding 'street fighter', namun enjin 3-silinder Crossplane 847cc yang dilengkapi pada model ini boleh dikatakan menyediakan gabungan yang harmoni antara kuasa, tork dan keseimbangan, sekali gus menghasilkan tunggangan yang amat mengujakan.

KUASA henti MT09 dipertingkatkan dengan aspek keselamatan menerusi penggunaan brek anti kunci (ABS) pada kedua-dua rodanya. - Foto Supian Ahmad

Yamaha MT09. - Foto Supian Ahmad

Nakal ala hooligan

Penampilan nakal ala 'hooligan' dengan muka lampu berkembar LED, enjin yang padat dan ekor belakang yang pendek, membangkitkan gaya radikal yang mana menjadikannya antara model motosikal jalanan dengan reka bentuk 'ganas' ketika ini.

Antara ciri terbaru Yamaha MT09 2018 ialah sistem Penukar Gear Pantas (Quick Shifter), Klac Gelincir Berbantu (Slipper and Assist Clutch), Kawalan Cengkaman (Traction Control) dan Brek Anti Kunci (ABS).

Model pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM47,388 seunit pastinya akan sengit menyaingi beberapa model jenama terkemuka lain dalam segmennya seperti Ducati Monster 821, Triumph Street Triple S/RS, Kawasaki Z900 dan MV Agusta Brutale 800.

Kedudukan penunggang meskipun dalam posisi agresif tetapi ia adalah selesa dan penulis juga gemar tempat duduknya, yang tidak terbahagi dua, memudahkan untuk mengelusur sedikit ke belakang ketika perlu.

Amat berkuasa

Dari segi penjanaan kuasa, MT09 memanfaatkan teknologi Crossplane, kebanggaan Yamaha, pada enjin 847cc 3-silinder selari dengan output 115 PS dan tork 87.5 Nm beserta kotak gear 6-kelajuan.

Tindakbalas pendikitnya adalah serta-merta atau 'torky' dengan tujahan bermula kuat pada awal lagi, membuatkan roda hadapannya mudah terangkat jika dipulas berlebihan.

Dengan berat 193 kilogram (kg), MT09 boleh dikatakan ringan dan lincah di atas jalan. Ia mudah dikendalikan, terasa seperti menunggang model naked 250cc, terutama ketika mengharungi kesesakan di bandar.

Komponen sokongan tunggangan seperti sistem klac quick shift dan A&S (Assist & Slipper) menjadikan tunggangan lebih lancar apabila penukaran gear boleh dibuat dengan agresif, justeru dengan mengurangkan operasi klac sebanyak 20 peratus dan pada masa sama, enjin tidak akan mengunci roda belakang,

MT09 didatangkan bersama tangki bahan api berkapasiti 14 liter. - Foto Supian Ahmad

MUKA lampu berkembar LED. - Foto Supian Ahmad

Teknologi terkini

Selain itu gabungan kedua-dua sistem berkenaan dengan chasis dan suspensi yang mantap membolehkan penunggang boleh mengambil selekoh dengan lebih baik dan mudah.

Kuasa henti MT09 dipertingkatkan dengan aspek keselamatan menerusi penggunaan brek anti kunci (ABS) pada kedua-dua rodanya.

Antara ciri terbaru diperkenalkan adalah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dilaras mengikut keadaan jalan raya, menjadikan tunggangan meyakinkan dan lebih selamat.

MT09 didatangkan bersama tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan mampu bergerak sejauh lebih 250 kilometer dengan kelajuan purata sekitar 140 kilometer sejam (km/j).

Dua warna ditawarkan iaitu Night Fluo (kelabu) dan Tech Black (hitam) dengan harga RM47,388 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama setahun atau 10,000 kilometer, yang mana lebih awal.

KUASA Yamaha MT09 mampu menyengat dengan agresif. - Foto Supian Ahmad

Spesifikasi Yamaha MT09

Enjin: 847 cc

Kuasa maksimum: 115 PS @ 10,000 rpm

Tork maksimum: 87.5 Nm @ 8,500 rpm

Transmisi: 6 kelajuan Constant Mesh

Kapasiti tangki bahan api: 14 liter

Ciri keselamatan: ABS dan TCS.

Harga: RM47,388 (tanpa insurans)

Berita Harian X