Selasa, 22 Mei 2018 | 5:57pm

Masa terbaik untuk dapatkan sebuah Proton

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON) menyifatkan sekarang adalah masa terbaik untuk memiliki mana-mana model keluarannya berikutan pengumuman kadar sifar bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Jun 2018.

PROTON dalam kenyataanya berkata, pembeli akan menikmati pengecualian cukai berserta penjimatan hebat pada harga kereta.

"Pelanggan PROTON kini berpeluang untuk mendapatkanlebih penjimatan kerana syarikat sedang berusaha untuk meningkatkan nilai tambah kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, walaupun GST berkadar sifar hanya berkuatkuasa 1 Jun nanti, pembeli kereta Proton kini boleh menikmati harga rendah serta-merta.

"Walaupun harga yang ditawarkan kekal sama sehingga tarikh GST berkadar sifar dilaksanakan, semua pelanggan akan ditawarkan pilihan antara rebat tunai segera atau baucar servis yang mempunyai nilaibersamaan kepada perbezaan antara harga kereta semasa dan selepas kadar sifar GST dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, selain potensi penjimatan yang ditawarkan kepada pelanggan, PROTON turut menawarkan inisiatif jualan menarik bagi bulan Mei yang akan memudahkan mereka memiliki kereta Proton.

"Promosi Kosong-kosong menawarkan pembeli Proton Iriz (varian Eksekutif dan Premium), Proton Ertiga (semua varian) dan Proton Exora (semua varian) yang mendaftar dengan Hong Leong Bank pembiayaan tanpa faedah untuk tahun pertama.

"Pelanggan yang memilih untuk membeli Proton Saga atau Proton Persona pula akan menerima ansuran tiga bulan percuma jika mereka membiayai kereta baharu mereka melalui PROTON Commerce," katanya.

Menurutnya, tawaran GST berkadar sifar juga akan diberikan untuk perkhidmatan di semua pusat servis PROTON yang diiktiraf di mana diskaun enam peratus ditawarkan kepada semua pemilik yangmenghantar kereta mereka untuk penyenggaraan berkala.

Dalam tempoh ini, Proton Saga 1.3 MT Standard ditawarkan pada harga RM33,123 berbanding RM35,320 sebelum ini.

Bagi Proton Persona 1.6 MT Standard Solid pula ditawarkan pada harga RM41,681 berbanding RM44,391 sebelum ini, manakala Proton Iriz 1.3 Standard MT ditawarkan pada harga RM39,545 berbanding RM42,127 sebelum ini.

Bagi Proton Exora 1.6 Executive CVT, ia ditawarkan pada harga RM61,396 berbanding RM65,262 sebelum ini dan Proton Ertiga 1.4 Executive MT pula ditawarkan pada harga RM53,332 berbanding RM56,713 sebelum ini.

Berita Harian X