Rabu, 2 Mei 2018 | 9:20pm
Nissan Serena S-Hybrid.

Nissan Serena S-Hybrid masuk pasaran

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan bahawa Nissan Serena S-Hybrid generasi kelima serba baharu dilancarkan pada Mei 2018.

Seperti model terdahulu, ia menggunakan enjin 2.0 liter CVTC berkembar yang dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT dan Kawalan Syif Adaptif (ASC), sekali gus mampu menghasilkan kuasa maksimum 150 PS pada 6,000 rpm dan tork 200 Nm pada 4,400 rpm.

Kegunaan Dual Arm Tensioner (DAT) baharu pula menghasilkan ketegangan rendah pada tali sawat bagi mengurangkan masalah kehilangan kuasa serta meningkatkan kecekapan bahan api.

Motor ECO dinaik taraf

Model itu juga didatangkan motor ECO yang dinaik taraf bagi mengawal sistem Idling Stop dan memberi tambahan kuasa tork apabila memecut dari titik pegun.

Selain itu, ia juga berfungsi sebagai unit alternator semasa nyah pecutan untuk memudahkan pemulihan tenaga.

Penambahbaikan pada enjin Serena S-Hybrid itu turut membolehkannya menawarkan penjimatan bahan api sehingga 14.2 kilometer seliter (km/l), sekali gus memperoleh taraf kenderaan cekap tenaga (EEV).

Model itu juga dilengkapi pelbagai ciri Nissan Intelligent Mobility (NIM), termasuk Monitor Pintar Pandangan Sekeliling (I-AVM) dengan empat kamera yang yang menawarkan pandangan bird's-eye 360 darjah dari atas kenderaan untuk memudahkan navigasi khususnya di kawasan sempit.

Pengesan Objek Bergerak (I-Mod) pula mampu mengesan pergerakan objek di sekeliling kenderaan, seterusnya memberi amaran kepada pemandu.

Ia juga didatangkan pintu gelongsor berkembar dengan pengesan kaki baharu yang beroperasi dengan mengesan pergerakan kaki di bawah pintu untuk membuka atau menutupnya. Selain itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) baharu itu turut menempatkan tujuh tempat duduk dengan tujuh saluran USB.

Pelbagai ciri keselamatan

Dari segi keselamatan, Serena S-Hybrid baharu disertakan enam beg udara SRS sebagai ciri standard.

Ciri keselamatan lain termasuk Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sisitem Kawalan Jejak (TCS), Sistem Brek Antikunci (ABS), Bantuan Membrek (BA), Agihan Kuasa Membrek Elektronik (EBD), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Cagak Tempat Duduk Kanak-Kanak dengan Top Tether.

Serena S-Hybrid dipamerkan mulai 3 April lalu di beberapa kompleks beli-belah terpilih.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Nissan di pautan www.nissan.com.my atau menghubungi talian Pusat Perkhidmatan Nissan di 1800883838.

INFO
Nissan Serena S-Hybrid

  • Dijangka masuk pasaran tempatan pada Mei
  • Enjin: 2.0 liter CVTC berkembar
  • Kotak gear: XTRONIC CVT
  • Kuasa maksimum: 150 PS pada 6,000 rpm
  • Tork maksimum: 200 Nm pada 4,400 rpm
Berita Harian X