Rabu, 2 Mei 2018 | 8:07pm
TAN (kiri) bersama Lim ketika mengumumkan kerjasama Shell-11street di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gedung rasmi Shell Malaysia di 11street

SHELL Malaysia melancarkan gedung rasmi dalam talian Shell Malaysia di 11street, yang menyediakan kemudahan bagi pemilik kereta di seluruh Malaysia membuat pembelian pakej servis penukaran minyak Shell Helix (termasuk minyak Shell Helix pilihan anda, turas minyak dan caj buruh) yang tulen secara dalam talian.

Pengguna di Semenanjung Malaysia, dan kelak di Sabah dan Sarawak, boleh membeli e-baucar bagi pakej servis penukaran minyak Shell Helix tulen secara dalam talian.

Mereka boleh menghubungi bengkel terlebih dulu untuk membuat temu janji dan menebusnya melalui aplikasi mudah alih 11street di bengkel pilihan yang terdapat dalam senarai lebih daripada 45 bengkel berjenama Shell Helix yang mengambil bahagian.

Bagi meraikan kerjasama Shell-11street, dua syarikat itu mengumumkan peraduan Belanja & Menang! Dari 16 hingga 29 April 2018 di mana pengguna yang membeli pakej servis penukaran minyak yang menggunakan sama ada minyak motosikal Shell Helix Ultra dengan Teknologi PurePlus, High Mileage atau HX7 di 11street akan berpeluang untuk memenangi kredit beli-belah bernilai RM500.

Minyak enjin tulen

Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan, berkata kerjasama dengan 11street akan membolehkan syarikat itu mengambil peluang atas trend membeli-belah dalam talian yang sedang pesat berkembang dan membawakan produk Shell Helix yang tulen dan servis nilai-untuk-wang kepada pasaran yang lebih luas di seluruh negara.

"Shell Helix mahu membantu pemandu mengatasi cabaran harian dan mengekalkan semangat pemanduan mereka.

"Menerusi kerjasama dengan 11street, salah satu jenama pasaran dalam talian yang terbesar dan paling inovatif di Malaysia, kami menawarkan kemudahan yang tidak pernah tersedia sebelum ini dari segi penyenggaraan kereta mereka," katanya.

Naib Presiden Perdagangan 11street, Bruce Lim, berkata platform itu menawarkan kemudahan untuk pembeli di Malaysia mendapatkan servis penukaran minyak Shell Helix tulen yang berkualiti di bengkel berjenama Shell Helix.

"Kerjasama dengan Shell Malaysia ini akan membantu pengguna mengurangkan masa menunggu untuk menjalankan servis kereta mereka, dan membolehkan mereka membuat temu janji dengan mudah mengikut kesesuaian," katanya.

Berita Harian X