Khamis, 26 April 2018 | 3:29pm
KEIICHI Yasuda (dua dari kiri) melancarkan motorsikal Honda CRF1000L Africa Twin pada Malaysia Autoshow 2018 di MAEPS Serdang. - Foto Asyraf Hamzah

Boon Siew Honda perkenal motosikal berkuasa tinggi

SERDANG: Boon Siew Honda (BSH) melancarkan motosikal berkuasa tinggi baharu, Honda X-ADV dan CRF1000L Africa Twin.Honda X-ADV ditawarkan dengan satu varian dijual pada harga atas jalan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM61,478.94 (warna standard) dan RM63,598.94 (warna istimewa).

Honda CRF1000L Africa Twin pula hadir dengan dua varian dengan varian Africa Twin dijual pada harga atas jalan dengan GST RM74,198.94 (standard) dan RM80,558.94 (DCT), manakala varian Africa Twin Adventure Sports RM77,378.94 (standard) dan RM83,738.94 (DCT).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Keiichi Yasuda, berkata syarikat itu sentiasa komited untuk memberikan nilai dan teknologi tinggi bagi setiap produknya.

"Di Malaysia, kami tidak hanya mengehadkan motosikal berkuasa tinggi 'sport' dan 'street, tetapi juga kategori yang berlainan, contohnya 'scooter' dan 'cross touring' yang mempunyai permintaan untuk enjin yang berkuasa lebih tinggi," katanya ketika melancarkan model itu sempena Malaysia Autoshow di sini, hari ini.

Honda X-ADV adalah jentera ala crossover dengan keupayaan off-road yang dihasilkan oleh pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda di Itali.

X-ADV dilengkapi enjin efisien 745cc penyejukan cecair OHC 4-lejang yang mampu menawar kuasa maksimum 40.3kW pada 6,250rpm dengan tork puncak 68Nm pada 4,750rpm.

Ia juga didatangkan denganPilihan Pengawalan Tork Honda (Honda Selectable Torque Control, HSTC) yang menawarkan dua tahap pengawalan; Tahap 1 membolehkan aksi putaran roda belakang atas jalan berturap atau jalan kasar, manakala Tahap 2 menawarkan cengkaman yang padu biarpun atas permukaan licin.

Sementara itu, Honda CRF1000L adalah motosikal kembara yang membuatkan perjalanan jarak jauh lebih selesa.

Africa Twin baharu itu mampu menjana hampir 1.5 kali ganda kuasa berbanding model Africa Twin asal walau masih mengekalkan saiz dan perkadaran yang sama.

Pembaharuan utama ke atasnya adalah enjin 998cc penyejukan cecair OHC 4-Lejang adalah sistem Pendikit Melalui Wayar (Throttle By Wire, TBW), yang menawarkan lebih pilihan kepada penunggang untuk mengawalkuasa enjin dan cengkaman roda belakang yang bersesuaian dengan pelbagai keadaan penunggangan.

Pembaharuan lain termasuk jajaran lanjut tetapan input kawalan tork pilihan Honda bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam apa jua keadaan.

Berita Harian X