Sabtu, 21 April 2018 | 3:00pm
SUV tampil wajah baharu.

Sportage 2.0 EX lebih elegan

NAZA Kia Malaysia, pengedar sah jenama Kia memperkenalkan varian baharu bagi barisan model Kia Sportage iaitu Sportage 2.0 EX untuk pasaran tempatan.

Disertakan spesifikasi yang ditambah baik, Sportage 2.0 EX baharu itu menampilkan reka bentuk yang lebih segar serta dilengkapi teknologi terkini, sekali gus menjamin pengalaman pemanduan yang luar biasa.

Selain reka bentuk baharu, kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu itu juga didatangkan rim aloi 18 inci, sensor parkir depan dan belakang, sensor hujan dan cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik.

SUV itu juga memaparkan wajah yang lebih elegan, hasil daripada reka bentuk lampu utamanya serta ciri khas Kia iaitu gril 'Schreyer' di bahagian depan.

Selain reka bentuknya, Sportage 2.0 EX juga menitikberatkan ciri kemudahan seperti sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan pendingin hawa automotik sepenuhnya.

Malah, sistem audio pada papan pemuka bersaiz lima inci digantikan dengan sistem audio skrin sentuh tujuh inci yang didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay.


KIA Sportage 2.0 EX memaparkan wajah yang lebih elegan.

Struktur berketahanan tinggi

Dari segi keselamatannya pula, Sportage baharu itu dilengkapi enam beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektrik (ESC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Kawalan Mendaki (HAC).

Dipadankan dengan struktur badan yang diperbuat daripada Keluli Berketahanan Tinggi Termaju (AHSS), SUV itu juga menerima penarafan lima bintang daripada ujian kemalangan dalam Program Penilaian Kereta Baharu Euro (Euro NCAP).

Ditawarkan menerusi lima pilihan warna iaitu Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White dan Mineral Silver, Sportage 2.0 EX dijual pada harga RM129,888 tidak termasuk insurans.

Ia kini boleh didapati di pasaran tempatan, dan varian berkenaan disertakan waranti selama lima tahun dengan jarak mileage tanpa had.

Menurut Naza, selepas varian baharu itu diperkenalkan di pasaran domestik disamping penjualan Sportage GT Diesel AWD, varian Sportage GT Petrol 2WD dan Sportage KX dihentikan serta-merta.

INFO
Sportage 2.0 EX

Warna: Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White dan Mineral Silver

Harga: RM129,888 (tidak termasuk insurans)

73 dibaca
Berita Harian X