Khamis, 1 Februari 2018 | 7:00am
WAJAH baharu motosikal berkuasa tinggi daripada Hong Leong Yamaha Motor, MT-09. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Yamaha perkenal versi baharu MT-09

SELEPAS sekian lama menantikan wajah baharu motosikal berkuasa tinggi daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), akhirnya peminat setia jenama itu boleh tersenyum lebar kerana MT-09 yang dinaik taraf dilancarkan Januari lalu.

Varian pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM47,388.

Secara kosmetik, banyak perubahan yang ditampilkan oleh MT-09 baharu ini meskipun masih menggunakan enjin tiga silinder 847 cc dengan sistem penyejukan cecair, DOHC, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan tork 87.5 Nm pada 8,500 rpm yang dipadukan dengan transmisi enam kelajuan.

Lebih agresif

Perubahan luaran yang ditampilkan ini jelas menunjukkan jentera 'naked' ini lebih garang dan agresif.

Pada bahagian hadapan, unit perumah lampu motosikal ini lebih menonjol seperti model yang lebih besar iaitu MT-10.

Tidak hanya luaran, aspek prestasi juga dipertingkat, di mana ia kini dilengkapi dengan Sistem penukar gear pantas (Quick Shift), Klac Gelincir Berbantu, kawalan cengkaman (TC), brek ABS dua saluran dan suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya di bahagian depan.

Ciri sama dengan varian sebelumnya termasuk tiga mod tunggangan, brek cakera berkembar 298 mm di hadapan, cakera 245 mm di belakang, rim 17 inci, tayar 120/70 di hadapan, 180/55 di belakang, berat keseluruhan 193 kg dan tangki minyak 14 liter.

MT-09 ditawarkan dengan dua pilahan warna iaitu Night Fluo dan Tech Black selain jaminan satu tahun atau 10,000 kilometer (km).

Ia boleh didapati di 46 pengedar rasmi Yamaha di seluruh Malaysia mulai bulan depan.

INFO
Yamaha MT-09

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM47,388.
  • Enjin tiga silinder 847 cc dengan sistem penyejukan cecair, DOHC.
  • 115 PS @ 10,000 rpm dan tork 87.5 Nm tork @ 8,500 rpm.
  • Transmisi enam kelajuan.
  • Sistem penukar gear pantas, Klac Gelincir Berbantu, Kawalan Cengkaman, ABS dan suspensi boleh laras.
Berita Harian X