Khamis, 25 Januari 2018 | 7:35pm
Hyundai Elantra Sport

Pandu Uji: Hyundai Elantra Sport pecah stigma umum

Model jenama Korea Selatan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, di mana stigma dahulunya mengatakan kereta dari negara berkenaan kurang menarik pastinya tidak lagi kedengaran.

Begitu juga dengan Hyundai di mana barisan model yang diperkenalkan di Malaysia semakin mengikut selera pasaran tempatan yang mahukan sebuah kereta yang memiliki reka bentuk sempurna.

Hyundai Elantra, adalah model dalam segmen C yang kini memberi saingan kepada jenama setara dengannya. Pastinya ia memberi cabaran baharu kerana reka bentuk kini semakin berubah dan menepati citarasa pengguna.

Dengan varian baharu yang dilancarkan Jun tahun lalu, sudah tentu ia akan menghangatkan semula pasaran dalam kalangan rakyat Malaysia sepanjang tahun ini.

Baru-baru ini, penulis memandu uji Hyundai Elantra Sport, varian dengan kapasiti 1.6 liter yang paling berkuasa antara semua varian Elantra yang ada.


Kombinasi tempat duduk hitam dan merah menyerlahkan gaya sporty.

Berkuasa 204 PS

Dijana enjin Gamma 1.6T-GDi turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang menawarkan 204 PS pada 6,000 rpm, manakala tork maksimum setinggi 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Padanan kotak gear transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan cukup untuk memberikan terjahan kuasa yang dihamburkan sebaik pedal minyak ditekan secara agresif.

Sebaik saja, pedal minyak ditekan, Elantra Sport memberikan kuasa tujahan yang mencukupi untuk sebuah sedan enjin turbo yang menepati selera tidak hanya orang muda malah mereka yang berusia 'emas'.

Lebih mengujakan, pemanduan Elantra Sport lebih menakjubkan, di mana ia tidak hanya menawarkan daya tujahan memberangsangkan, malah jika ada sebagai penumpang, ia amat selesa di mana tiada perasaan kurang selesa seperti menaiki kereta lain.

Gaya pemanduan yang lancar juga mampu menjadi 'selling-point' bagi varian ini, meskipun ia hanya menggunakan enjin 1.6 liter saja.

Lebih mengejutkan, apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, di mana sistem gantungan hadapan McPherson Strut dan suspensi bebas jenis Multilink pada gandar belakang memastikan tiada olengan atau hilang cengkaman, manakala suspensi sport dibekalkan tidak terasa terlalu keras apabila mengharungi laluan tidak rata di jalan raya biasa.

Elemen ini sebenarnya membuatkan penumpang belakang sangat selesa untuk menempuh perjalanan jauh.

Padanan tayar Hankook Ventus Prime II 225/45/R17 menjadikan cengkaman lebih kukuh dan ia membantu penulis mengawal jentera dengan baik.


Kombinasi tempat duduk hitam dan merah menyerlahkan gaya sporty.

3 mod pemanduan

'Kehadiran' tiga mod pemanduan iaitu Sport, Eco dan Normal membuatkan Elantra Sport bertambah baik kerana ia dapat disesuaikan dengan gaya pemanduan anda.

Apa yang penting, meskipun penulis menggunakan mod Eco, daya tujahan Elantra Sport terasa dan tidak langsung dirasakan berat apabila mula menekan pedal minyak.

Dari segi dalaman pula, Elantra Sport tampil dengan lebih sporty dengan susun atur papan pemuka yang kemas, panel meter lebih bergaya, selain sistem pendingin hawa dwizon automatik. Penumpang belakang juga ditawarkan corong pendingin hawa di bahagian konsol tengah.

Kombinasi tempat duduk kulit hitam dan merah memperjelaskan betapa sporty-nya varian ini.

Dari segi luaran pula, gril hadapan lebih garang dengan jalur melintang tertera lencana 'turbo', menyerlahkan DNA sebenar jentera.

Lampu nyalaan siang ditempatkan berasingan bersama perumah krom berbentuk-C di kedua-dua sisi bampar menyerlahkan gaya sebenar Elantra Sport.

Untuk lampu hadapan, Elantra Sport hadir dengan HID, manakala lampu belakang jaluran LED membentuk seakan huruf C.

Bampar belakang didatangkan bersama diffuser menempatkan salur ekzos berkembar.

Menyentuh ciri keselamatan standard bagi varian ini ia termasuk enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Kawalan Mendaki (HAC), Sistem Bantuan Brek (BAS), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).


Rekaan matang Hyundai Elantra Sport.

Pembelian berbaloi

Ia juga hadir dengan ciri lain termasuk Sistem Kemasukan Pintar dengan butang penghidup enjin, pedal shifter, pengelap cermin automatik bersama pengesan hujan dan pengesan titik buta dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula RM131,488 (tanpa insurans), ia boleh dikatakan berpatutan, malah anda mendapat 'lebih' lagi dengan reka bentuk dan kuasanya.

Secara kesimpulannya, ia adalah model sesuai dengan citarasa gaya muda anda. Penulis percaya Elantra Sport pastinya tidak akan menghampakan anda.


Rekaan matang Hyundai Elantra Sport.

Info: Hyundai Elantra Sport

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM131,488
  • Enjin Gamma 1.6T-GDi turbo dengan sistem suntikan bahan api terus
  • 204 PS @ 6,000 rpm, tork maksimum 265 Nm @ 1,500 hingga 4,500 rpm
  • Padanan kotak gear transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
  • 6-beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Kawalan Mendaki (HAC), Sistem Bantuan Brek (BAS), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Sistem Kemasukan Pintar dengan butang penghidup enjin, pedal shifter, pengelap cermin automatik bersama pengesan hujan dan pengesan titik buta dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA)

44 dibaca
Berita Harian X