Selasa, 16 Januari 2018 | 3:13pm
PASARAN Malaysia bakal menerima model terbaik Jaguar F-PACE tidak lama lagi.

Jaguar F-PACE Ingenium bakal mengaum

TIDAK lama lagi, peminat jentera Jaguar bakal menerima model permulaan F-PACE yang dilengkapi dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Ingenium baharu.

Tawaran terbaharu Jaguar Land Rover Malaysia itu tampil dengan varian yang menawarkan keselesaan tidak hanya kepada pemandu, malah penumpang.

Dengan penjana kuasa baharu ini, varian berkenaan mampu menghamburkan kuasa sehingga 250 PS dari 1,200 rpm dan tork 365 Nm iaitu 90 PS dan 85 Nm kurang daripada enjin V6.

Ia juga mampu dipacu dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 6.8 saat.

Enjin ini diperbuat daripada struktur aluminium, bagi menggantikan penjana kuasa GTDI RWD, yang digunakan di pasaran China.

Kelebihan enjin ini berbanding GTDI ialah ia turut mampu mempertingkatkan prestasi termasuk meningkatkan penjimatan bahan api sebanyak 15 peratus iaitu 4.1 kilogram (kg) lebih ringan dan juga NVH yang turut diberi penambahbaikan.

SUV terbaik

Kenderaan utiliti sukan (SUV) lima tempat duduk ini juga turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan 8HP45 yang lebih ringan dan kompak, yang menyalurkan kuasa ke semua rodanya.

Ia juga menampilkan pendulum damper di dalam torque converter yang lebih efektif untuk menyerap getaran frekuensi rendah serta membolehkan enjin dipacu dalam kelajuan rendah tanpa menjejaskan kehalusannya.

F-PACE direka bentuk melepasi keperluan ujian kemalangan global yang paling ketat.

Selain mencapai matlamat itu, model ini juga turut menerima cabaran menerusi pengurangan berat kenderaan, namun ia dapat diselesaikan.

Jaguar F-PACE truut dinamakan sebagai pemenang Kereta Terbaik Dunia 2017 dan Anugerah Rekaan Terbaik Dunia di New York International Auto Show.

Di Malaysia, F-PACE baru-baru ini juga memenangi Kereta Terbaik MAI 2017 bagi kategori SUV dan Crossover (kategori RM500,001 - RM700,000).

F-PACE varian 2.0-liter kini dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran Jaguar Land Rover di seluruh negara.

Info:
Jaguar F-PACE Ingenium

  • Harga didedahkan ketika pelancaran
  • 250 PS dari 1,200 rpm dan tork 365 Nm
  • 0 - 100 km/j dalam hanya 6.8 saat
Berita Harian X