Isnin, 15 Januari 2018 | 6:43pm
JAGUAR Land Rover (Malaysia) memperkenalkan Land Rover Discovery baharu.

Land Rover Discovery masuk pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR: Jaguar Land Rover Malaysia memperkenalkan ke pasaran tempatan model terkini Land Rover Discovery.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) generasi kelima yang dilancarkan Jumaat lalu ditawarkan pada harga jualan, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM729,800 tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan.

Discovery baharu dikuasakan dengan enjin diesel Td6 3.0-liter V6 yang menghambur kuasa 258PS.

Enjin turbo tunggal yang digabungkan dengan kitaran semula ekzos bertekanan rendah dan muncung penyuntik minyak yang diperkemas untuk memberikan maklum balas dan kecekapan yang lebih baik.

Enjin berkenaan juga dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF.

Teknologi pacuannya turut membabitkan sistem Terrain Response 2 serta kotak pemindah dua kelajuan.

Enjin berkuasa 258PS juga menghasilkan prestasi lebih jitu berbanding sebelumnya, di mana pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.1 saat.

Dengan kuasa tork 600Nm, enjin diesel Td6 baharu diesel menawarkan pemanduan lancar dalam pelbagai keadaan.

"Discovery baharu dibangunkan berdasarkan praktikal dan serba boleh berbanding model terdahulu. Teknologi perintis, seni bina aluminium ringan dan rangkaian kuasa maju memastikan model baharu ini dapat menarik pengguna daripada pelbagai tahap," kata Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Datuk Aishah Ahmad.

Sementara itu, lima pelanggan pertama SUV itu yang ditawarkan dengan jaminan lima tahun dan tiga tahun servis percuma juga bakal menikmati baucar aksesori bernilai RM5,000.

Aksesori tulen Land Rover juga dilindungi jaminan 12 bulan, manakala aksesori yang dipasang dalam tempoh satu bulan atau perbatuan 1,600 kilometer daripada tempoh serahan akan dilindungi jaminan kenderaan.

Sempena pelancaran rasmi Discovery, Jaguar Land Rover Malaysia akan menganjurkan 'Discovery Day' selama dua hari Jumaat lalu di Sime Darby Auto Connexion Petaling Jaya dan SISMA Auto Glenmarie, manakala program sama turut dianjurkan di SISMA Auto Pulau Pinang pada 20 dan 21 Januari.

INFO

Land Rover Discovery

* Enjin diesel Td6 3.0-liter V6

* Kuasa 258PS, Tork 600Nm

13 dibaca
Berita Harian X