Selasa, 19 Disember 2017 | 7:12pm
MOTO Guzi V7 Ill Racer. - Foto Syarafiq Abd Samad
REKA bentuk minimalis V7 Racer Generasi Ketiga.- Foto Syarafiq Abd Samad
PANDANGAN belakang Moto Guzi V7 Ill Racer. - Foto Syarafiq Abd Samad

V7 III Racer menawan, berkuasa

MEMBELI motosikal berdasarkan penampilannya sahaja bukanlah satu cara wajar membelanjakan wang anda. Malah, membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan harga puluhan, malah ratus ribu ringgit, adalah langkah tidak masuk akal bagi ramai orang. Namun, bagi peminat tegar roda dua, pendapat sebegitu sudah pasti salah.

Apabila datang kepada Moto Guzi V7 Ill Racer, keinginan itu mungkin menjurus kepada ia sangat cantik dan berbaloi tanpa perlu mengambil kira bagaimana rasa menunggangnya.

Enjin V-twin melintang "timur-barat", penyejukan udara sememangnya unik kepada Moto Guzzi. Ia tidak hanya tampak menarik, tetapi juga masuk akal secara mekanikal dalam menghasilkan kualiti tunggangan yang baik.

Reka bentuk minimalis V7 Racer Generasi Ketiga ini mengingatkan kita tentang keindahan unsur ringkas, dan ia berjaya mengekalkan reputasi warisan jenama utuh Moto Guzzi dengan reka bentuk mantap dan segar sepanjang zaman.

Kehalusan reka bina badan motosikal yang membaluti enjin V dan di sepanjang transmisi, mengimbau kembali era motosikal retro yang amat mengujakan. Moto Guzzi bijak dalam memadankan warna pada V7 III Racer, tangki minyak krom kemasan satin seperti V7 Telaio klasik beserta perincian merah dan hitam, pada bingkai hingga ke hab roda dan rim. Ia jelas menyerlahkan lagi penampilannya.

Logo "Helang" Moto Guzzi dalam warna merah menyala diilhamkan daripada rangkaian motosikal lumba V7 yang terdahulu. Berlainan daripada V7 III yang biasa, Racer adalah model yang bernombor yang mana ia edisi terhad.

Ia bukan tema retro tangkap muat, tetapi pengekalan keaslian dari segi reka bentuk asalnya. Model V7 pertama dikeluarkan pada 1967 oleh perekanya Lino Tonti, yang mana sedekad kemudian mengeluarkan V50 500cc V-twin yang menjadi asas pembangunan enjin V7 semasa.

Berbanding varian V7 Ill lain, Racer berbeza dari segi kosmetik, hendal yang lebih rendah, rupa bentuk lebih agresif dan mungkin paling mengejutkan adalah perasaan bebas ketika menunggang.

Kedudukan penunggang lebih ke hadapan. Walaupun masih selesa, ia mengubah kaedah motosikal ini dikawal.

V7 III Racer bukan motosikal untuk ditunggang pada kelajuan tinggi meskipun pecutan maksimum mencecah 190-200 kilometer sejam (kmh). Halaju selesa adalah sekitar 120 hingga 140 kmh. Untuk menunggangnya, ia amat mudah, tidak perlu skil tunggangan ala "supersport" dan sebagainya. Racer adalah lebih kepada tunggangan santai.

Jika anda menyentap V7 Ill Racer dan memecut dengan keras dan agresif, ia tidak menyukainya. Anda cepat kehabisan tempoh membrek dan pusingan shaft akan menarik casis menyebabkan badan motosikal itu bergoyang ketika mengambil selekoh.

Ideanya adalah untuk melungsuri jalan luar bandar dan menikmati pemandangan. Ia juga sesuai untuk tunggangan jarak dekat dalam bandar sambil mengagumi refleksi diri anda bersama motosikal yang terpapar dalam cermin pintu serta tingkap gelap pada deretan kedai.


ENJIN V-twin melintang 'timur-barat', penyejukan udara sememangnya unik kepada Moto Guzzi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sama ada anda suka atau tidak cara sebegitu, ia adalah karakter tipikal mesin Itali ini. Ia selesa, lancar dan tempat duduknya yang rendah membolehkan sesiapa saja menunggangnya.

V7 III Racer dilengkapi enjin 52 kuasa kuda (hp) pada rpm 6,200, sejukan udara, 2-injap setiap silinder, 4-strok 90 darjah V-Twin dan pacuan aci atau shaft. Tork maksimum adalah 60nm pada rpm 4,900. Umum tahu bahawa sebarang enjin pacuan shaft adalah lebih kepada kelancaran tunggangan, dan bukannya untuk kelajuan.

Meskipun tampak 'old school', namun Racer turut dilengkapi komponen terkini yang dibangunkan syarikat induknya iaitu Piaggio Group (yang mana termasuk Moto Guzzi dan Aprilia) sejak beberapa tahun lalu.

Selain daripada sistem suntikan bahan api yang mematuhi piawaian Euro 4, Racer turut disertakan dengan sistem brek antikunci (ABS) dan alat kawalan tunggangan atau Moto Guzzi Controllo di Trazione Control (MGCT). ABS menghindari roda daripada terkunci ketika membrek secara keras, manakala MGCT, menghalang roda belakang berputar berlebihan ketika memecut.

Penggunaan petrol juga menjimatkan, yang mana satu tangki penuh 21 liter termasuk 4 liter rizab, mampu ditunggang lebih 425 kilometer (km) atau puratanya 20.4 km setiap liter.

Kesimpulannya, V7 III Racer memberi tunggangan berkualiti, selesa, mudah dikawal berserta penampilannya yang amat menarik. Jika anda meminati model retro, Racer menawarkan segalanya dan ia menjadi antara model yang 'mesti' dipertimbangkan untuk dibeli.


V7 III Racer dilengkapi enjin 52 kuasa kuda (hp) pada rpm 6,200, sejukan udara, 2-injap setiap silinder, 4-strok 90 darjah V-Twin dan pacuan aci atau shaft - Foto Syarafiq Abd Samad

Spesifikasi:

  • Harga: RM81,900 (asas beserta GST)
  • Enjin: 744cc; 2-injap; 90 darjah V-Twin melintang, sejukan cecair
  • Kuasa: 52hp pada rpm 6,200
  • Tork: 60nm pada rpm 4,900
  • Suspensi belakang: 2 penyerap hentakan Ohlin boleh laras
  • Suspensi hadapan: Fork teleskopik hidraulik
  • Brek hapadan: Cakera terapung; kaliper Brembo 4-piston
  • Brek belakang: Cakera terapung, 2-piston
  • Ketinggian: 111 sentimeter (cm)
  • Kapasiti tangki: 21 liter
  • Berat: 209 kilogram (kg)

18 dibaca
Berita Harian X