Rabu, 1 November 2017 | 10:38am

Jualan PROTON meningkat

KUALA LUMPUR: PROTON merekodkan kenaikan jualan 12.5 peratus bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, menyaksikan 56,297 unit kenderaan dijual berbanding 50,091 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu dicapai meskipun keseluruhan jualan pada September 2017 mengalami penurunan berikutan bilangan cuti umum yang banyak.

Prestasi jualan itu juga disumbang jumlah jualan industri (TIV) yang mengukuh 1.7 peratus.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan PROTON pagi ini.

PROTON berkata, ia bernasib baik dengan kejayaan perancangan model Saga dan Persona yang masing-masing dilancarkan pada Ogos dan September 2016.

"Dengan penambahbaikan dilakukan pada kedua-dua model ini, PROTON berjaya meningkatkan jualan kenderaan, yang sebahagian besar menerusi hasil jualan Saga dan Persona, iaitu masing-masing sebanyak 42.7 peratus atau 24,061 unit, dan 27.4 peratus atau 15,448 unit bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Abdul Rashid Musa.

Pendekatan yang diambil PROTON dalam membawa kereta itu dekat kepada pelanggan telah mula menampakkan hasil, katanya.

PROTON sedang giat melakukan siri jelajah dengan lebih agresif, memasuki ke kawasan yang sibuk terutama pada hujung minggu.

Pameran ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada kereta PROTON pada siri jelajahnya menarik minat orang ramai.

Melihatkan kepada maklum balas positif diterima daripada pelanggan, PROTON kini meneruskan tawaran lima nilai hebat dengan servis percuma dan waranti selama lima tahun bagi setiap pembelian kereta PROTON.

Perkhidmatan percuma tamat selepas lima tahun atau 100,000 kilometer (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja.

Tawaran bermula 1 November hingga 30 November 2017

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel di customercare@proton.com.

Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial.

Pelanggan boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

Berita Harian X