Selasa, 17 Oktober 2017 | 6:25pm
Isuzu mu-X.

mu-X lebih dinamik

ISUZU Malaysia memperkenalkan versi terbaharu, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk, mu-X untuk pasaran Malaysia.

SUV ladder frame yang sebelum ini diperkenalkan di pasaran Thailand Mac lalu, ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.5L 4X2 automatik dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM176,640.40 dan juga 2.5L 4X4 automatik dijual pada harga RM183,000.40.

Setiap pembelian mu-X baharu juga ditawarkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Dari segi rangkaian kuasa, tiada sebarang perubahan ditawarkan untuk versi baharu mu-X ini yang mana ia kekal dijana enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksimum 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm.

Rangkaian kuasanya dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan automatik dengan penukar gear manual.

Dari segi luaran, versi dipertingkatkan ini mendapat sentuhan lebih segar dengan bampar hadapan dengan rekaan baharu pada kemasan perumah lampu kabus serta gril dengan reka bentuk baharu.

Rekaan luaran segar

Isuzu mu-X baharu ini juga kini didatangkan dengan lampu hadapan LED yang digabungkan bersama lampu nyalaan siang LED.

Varian SUV ini turut ditambah 'perisa' dengan spoiler belakang baharu yang lebih menyerlah serta rim aloi 18 inci rekaan baharu.

Menjengah bahagian kabin pula, tidak banyak perbezaan yang ditawarkan mu-X versi baharu berbanding varian terdahulu, cuma Isuzu memberi penekanan dari segi kekemasan lebih premium termasuk penggunaan plastik sentuhan lembut dan trim kayu pada beberapa bahagian kabin.

Papan pemuka juga masih lagi menggunakan susunan yang sama seperti sebelum ini dan juga seiras pada unit yang dipadankan pada trak pikap Isuzu D-Max.

Bagi membezakan antara dua varian, model 4X2 diberikan skrin sesentuh tujuh inci, manakala model 4X4 diberikan skrin lapan inci.

Sistem keselamatan yang baik

Infortainmen kedua-dua varian turut menyokong fungsi MP3, Bluetooth dan Ipod serta diberikan input AUX dan juga USB, yang turut dihubungkan kepada lapan pembesar suara.

Varian tertinggi pula diberikan monitor DVD yang diletakkan pada bahagian bumbung untuk membolehkan penumpang belakang menonton filem pilihan ketika menempuh perjalanan jauh atau dekat.

Ciri lain yang diberikan secara standard untuk kedua-dua varian termasuk paparan maklumat e-LUMAX, 'Passive Entry and Start System', roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta sistem pendingin hawa automatik bersama motor penghembus dengan kawalan berasingan untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Aspek keselamatan pula, semua varian mu-X didatangkan dengan sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA) dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Info:
Isuzu mu-X

  • Harga atas jalan tanpa insurans
  • - 2.5L 4X2 automatik RM176,640.40

    - 2.5L 4X4 RM183,000.40

  • Enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS
  • 136 PS dan tork maksimum 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm
  • Kotak gear 5-kelajuan automatik dengan penukar gear manual
  • Spoiler belakang baharu, rim aloi 18 inci rekaan baharu
  • Keselamatan : ABS, TCS, ESC, EBD, BA, HSA dan Isofix
43 dibaca
Berita Harian X