Ahad, 15 Oktober 2017 | 7:00am

XC90 T8 Twin Engine lebih terampil, bertenaga


SUV plug-in hybrid ini dilengkapi teknologi terkini.

KALI pertama memandu kereta Volvo, terasa satu aura yang berbeza dari segi pemanduan dan keyakinan membawa kenderaan ini di atas jalan raya.

Apatah lagi, kereta yang sedang dipandu adalah XC90 T8 Twin Engine versi pemasangan tempatan (CKD) yang lengkap dengan teknologi terkini, selain rekaan yang berketerampilan.

Kenderaan kategori SUV plug-in hybrid ini tidak berbeza dengan versi yang diimport kerana XC90 ini tampil dengan barisan rekaan Inscription dari varian tertinggi T8 Twin Engine.

Paling ketara menarik perhatian adalah bahagian hadapannya ditampilkan dengan lampu nyalaan siang Thor's Hammer LED yang menjadi satu jenama pengenalan Volvo, selain lampu utamanya dan juga LED Active Bending Lights dan Active High Beam Control.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda 10-jejari berwarna perak potongan-berlian bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar 275/45, lampu brek adaptif LED, tip ekzos berkembar dan pintu tailgate berkuasa dengan operasi bebas tangan.


VOLVO XC90 T8 Twin Engine.

VOLVO XC90 T8 Twin Engine.

Keselesaan optimum

BH Auto yang berkesempatan memandu uji model Volvo ini dari Kuala Lumpur ke Ipoh memberikan keselesaan yang optimum.

Dari segi dalamannya saja, Volvo menampilkan tempat duduk yang lebih langsing bagi menawarkan perlindungan tulang belakang yang lebih baik sekiranya berlaku kemalangan.

Barisan kedua pula boleh dikehadapan dan dikebelakang bagi memberikan ruang kaki dan kapasiti ruang kargo yang lebih. Malah turut menampilkan kusyen peninggi bagi kanak-kanak di bahagian tengah.

SUV plug-in hybrid ini juga dipadankan dengan enjin 2.0 liter T8 Twin Engine empat silinder dan pengecas turbo Drive-E serta motor elektrik.

Selain dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, sekali gus memberikan enjin pembakarannya mampu menjanakan kuasa sehingga 320 hp dan tork 400 Nm, dengan kuasa yang disalurkan pada roda hadapan.

Sementara motor elektrik (87 hp/240 Nm) pula menyalurkan kuasa ke roda belakang dengan jumlah keseluruhan kuasa yang dihamburkan mencecah 407 hp dan tork 640 Nm dan, kedua-dua unit pacuan tersebut adalah sistem pacuan semua roda.

Itu dari segi kemampuan enjinnya, belum lagi disentuh teknologi lain seperti sistem keselamatan yang disertakan dalam SUV ini.


VOLVO XC90 T8 Twin Engine.

VOLVO XC90 T8 Twin Engine.

Pemanduan mudah

Pada mulanya memandu XC90 terasa kekok kerana saiznya yang besar tetapi dengan bantuan sistem teknologi Volvo yang disediakan, pemanduan terasa mudah walaupun terpaksa meletakkan kereta di kawasan yang sempit atau ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Ia didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Penunggang Basikal dan Pejalan Kaki dengan Brek Auto Sepenuhnya, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Mendaki Bukit.

Teknologi keselamatan bertaraf dunia ini turut menampilkan pakej perlindungan off road, sistem Bantuan Parkir dan juga sistem bunyi yang boleh mengesan sekiranya kenderaan anda ditunda atau dijek.

Ketika menggunakan pacuan elektrik sepenuhnya, kuasa yang disalurkan untuk motor elektrik didatangkan dari bateri lithium-ion 9.2 kWh.

Bateri ini boleh dicas dengan menggunakan soket biasa di rumah, dan hanya mengambil masa selama 3.5 jam untuk penuh dengan punca kuasa standard di Malaysia, 240 V, 13 amps.

Malah kuasa juga boleh dicas apabila kenderaan dibrek.


VOLVO tawar penjimatan bahan api dengan motor elektrik.

INFO

  • RM403,888 termasuk 6 peratus GST
  • 0 - 100 kilomter sejam hanya dalam 5.6 saat
  • Kelajuan maksimum 407 hp
  • XC90 T8 Twin Engine versi pemasangan tempatan (CKD)
Berita Harian X