Rabu, 11 Oktober 2017 | 11:11am
Mazda CX-5 baharu yang dilancarkan di Petaling Jaya, hari ini.

Bermaz Motor lancar Mazda CX-5 baharu

PETALING JAYA: Bermaz Motor Sdn Bhd, pengedar eksklusif jenama Mazda di Malaysia melancarkan model utiliti sukan (SUV), Mazda CX-5.

Model baharu itu diperkenalkan oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh dan Pengurus Eksekutif Mazda Motor Corporation, Hiroshi Inoue.

Mazda CX-5 didatangkan dengan tiga varian iaitu SKYACTIV-G 2.0L, SKYACTIV 2.5L dan SKYACTIV-D 2.2L yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans masing-masing dari RM134,205.50, RM160,596.70 dan RM164,179.10.

Ia ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Snow Flake Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Meteor Grey, Jet Black dan Arctic White.

Mazda CX-5 baharu antara lain menerima penambahbaikan terkini termasuk menerima gril gaya honeycomb dan sisi krom yang direka semula, lampu depan lebih tirus dan lampu belakang bahatu yang direka dengan dua barisan bagi bahagian luaran.

Bahagian dalaman pula, model itu ditawarkan dengan papan pemuka simetrik, konsol kawalan bertingkat, skrin sesentuh berwarna penuh 7-inci yang dihubungkan dengan MZD CONNECT Infortainmen.

Bermaz Motor juga menaiktaraf tempoh jaminan pengilang kepada lima tahun di mana kenderaan yang didaftarkan dari 1 Februari 2017 akan menikmati jaminan pengilang lima tahun atau 100,000 kilometer (km) dan tiga tahun atau 60,000 km bagi penyelenggaraan pencuma.

Jaminan berkenaan tertakluk kepada semua model kecuali model pikap, Mazda BT-50.

Info: Harga atas jalan tanpa insurans Mazda CX-5 baharu

* SKYACTIV-G 2.0L - RM134,205.50

* SKYACTIV 2.5L - RM160,596.70

* SKYACTIV-D 2.2L - RM164,179.10

Berita Harian X