Khamis, 28 September 2017 | 8:00am

Kuasa turbo yang menjimatkan

SEPERTI biasa, pandu uji model Hyundai tidak pernah mengecewakan kerana apa yang pasti kuasa penjimatan bahan api agak sukar ditandingi jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) lain, tanpa ia berkompromi dengan kuasa atau prestasi.

Memandu uji model SUV baharunya, Hyundai Tucson 1.6 Turbo pada perayaan lalu memperjelaskan sejauh mana keupayaan jenama terkemuka Korea Selatan ini di atas jalan raya di Malaysia.

Bagi memastikan sejauh mana kecekapan bahan apinya, penulis menggunakan Tucson berwarna 'Ruby Wine' untuk menempuh perjalanan jauh dan masa yang lama.

Sepanjang 13 hari sesi pandu uji yang diberikan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), penulis menjelajah lebih 1,200 kilometer (km) untuk tempoh pemanduan lebih 30 jam.


REKAAN luaran dan kuasanya sepadan. - Foto Salhani Ibrahim

Penjimatan bahan api

Apa yang menarik penulis hanya menggunakan tidak sampai dua tangki penuh (124 liter) untuk penggunaan bagi jarak dan masa pemanduan yang dianggap jauh dan lama.

Apa tidaknya, perjalanan ke Pasir Mas, Kelantan dari Putrajaya mengambil masa sekitar sembilan jam membabitkan jarak sekitar 500 km, Pasir Mas ke Kuantan, Pahang hampir 10 jam (kesesakan luar biasa pada musim perayaan) sejauh 400 km, Kuantan-Putrajaya sekitar tiga jam 30 minit (350 km) dan selebihnya perjalanan di sekitar Pasir Mas dan Kuantan.

Dari segi kelajuan purata yang 'ditekan' penulis adalah sekitar 160 kilometer sejam (km/j) di jalan lengang, mana pada trafik sesak sekitar 10 km/j (untuk tempoh lama dan adakalanya statik untuk tempoh masa yang agak lama).

Keupayaan enjin Gamma 1.6 Turbo GDi (T-GDi) dipadu oleh transmisi tujuh kelajuan dwi klac (DCT) sememangnya terbukti terbaik dalam kelasnya. Ia tidak hanya memberikan kuasa responsif yang baik untuk SUV, malah penjimatan bahan apinya juga 'berfungsi' dengan baik meskipun bebanan penumpang penuh selain barangan keperluan yang memenuhi ruang but iaitu 488 liter.


TUCSON versi kemaskini ini dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan suapan sistem suntikan bahan api terus T-GDi. - Foto Salhani Ibrahim

Enjin 1.6 T-GDi

Tucson versi kemaskini ini dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan suapan sistem suntikan bahan api terus T-GDi, menghasilkan kuasa 175 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm dan juga tork maksimum 265 Nm bermula 1,500 hingga 4,500 rpm.

Aspek rekaan, selain enjin berkuasa, model yang dipertingkat ini tampil dengan lampu utama projektor LED dengan nyalaan siang serta lampu penjuru LED serta rim 17 inci dengan cat lebih gelap.

Rim 19 inci lima jejari pula disediakan sebagai pilihan tambahan, dan disertakan dengan tayar 245,45R19, berbanding 225/45R17 untuk rim 17 inci.

Dari segi pemanduan, ia amat memuaskan kerana kuasa turbo jelas terasa pada kelajuan rendah, mahupun tinggi menyaksikan tahap keyakinan penulis untuk memotong kenderaan lebih tinggi meskipun hanya berbekalkan enjin 1.6 liter untuk sebuah SUV.

Dari segi pengambilan selekoh, penggunaan suspensi depan McPherson Strut memberikan kestabilan selain spring jenis SLC mampu menyerap impak lebih baik sekali gus mengurangkan getaran.


REKAAN dalaman yang kemas dan moden. - Foto Salhani Ibrahim

Pemanduan selesa

Penggunaan suspensi belakang Multi-Link pula dapat menyerap impak di mana penumpang belakang kurang merasai getaran, yang mana memberikan keselesaan kepada mereka menikmati perjalanan jauh lebih baik.

Sepanjang pemanduan, penulis turut mencuba mod pemanduan Normal, Sports dan Eco, di mana ketiga-tiganya memberikan kesan berbeza di mana butangnya terletak berhampiran dengan tuil gear.

Ketika memotong, penulis menggunakan mod Sports di mana, kuasa responsifnya dapat dirasai sempurna sekali gus menambah keyakinan bukan saja kepada pemandu, malah penumpang belakang juga 'boleh tidur lena'.

Dari segi keselesaan dalam kabin, semua tempat duduk dibalut kulit, manakala ruang kaki untuk penumpang belakang juga lebih lebar bagi menjamin keselesaan penumpang.

Odometer dan petunjuk LCD TFT berwarna 4.2 inci memberi pelbagai maklumat bukan saja sistem kenderaan, malah jarak perjalanan untuk baki bahan api serta penggunaan purata bahan api yang mudah difahami.

Sistem operasi Android yang ditawarkan menerusi skrin sesentuh juga banyak membantu perjalanan lebih lancar. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memastikan WiFi berfungsi dengan baik di mana penulis dapat menggunakan aplikasi Google Maps dan Waze bagi mengetahui perkembangan lanjut perjalanan dan keadaan trafik.

Ciri baharu lain yang turut ditawarkan termasuk kamera hadapan, fungsi auto-hold pada brek parkir elektronik dan sistem bukaan pintu tailgate belakang yang boleh dioperasikan tanpa sentuhan tangan.


RUANG kabin yang luas dan selesa. - Foto Salhani Ibrahim

Kit badan menarik

Selain daripada itu, kit standard versi turbo ini adalah sama seperti model paling tinggi yang dijual sekarang, iaitu 2.0 Executive.

Ia termasuk lampu kabus depan dan belakang, lampu puddle, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, kemasan kulit, tempat duduk pemandu larasan elektrik.

Kelengkapan lain yang akan disertakan pada kereta ini termasuk brek kecemasan elektronik, cermin pandang belakang anti-silau automatik dengan kompas, liang pendingin hawa di belakang, sistem informasi dan hiburan berasaskan Android dengan skrin lapan inci serta cruise control.

Ciri keselamatan yang ada pula terdiri daripada enam beg udara, ABS, EBD, BA, bantuan mula mendaki, kawalan menurun curam dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Difahamkan HSDM turut menawarkan aksesori pilihan untuk Tucson turbo ini yang terdiri dari dua pakej upholsteri (RM1,288 untuk merah dan RM1,988 untuk putih), kit badan (RM2,000) serta rim 19 inci lengkap dengan tayar (RM5,500).

Setiap pembelian Hyundai Tucson 1.6 T-GDI akan dilindungi jaminan lima tahun atau 300,000 km (yang mana dulu) dan pakej servis percuma 50,000 km atau tiga tahun.


HYUNDAI Tucson 1.6 Turbo. - Foto Salhani Ibrahim

Info:
Hyundai Tucson 1.6 T-GDi

  • Harga atas jalan tanpa insuran RM145,588
  • 1.6 liter dengan sistem suntikan bahan api terus T-GDI
  • 175 hp @ 5,500 rpm dan tork maksimum 265 Nm 1,500 hingga 4,500 rpm
  • Suspensi depan McPherson Strut, suspensi belakang Multi-Link
  • Lampu utama projektor LED dengan nyalaan siang, lampu penjuru LED
  • Rim 17 inci
  • LCD TFT berwarna 4.2 inci
  • Sistem operasi Android
  • Ciri keselamatan : 6-beg udara, ABS, EBD, BA, bantuan mula mendaki, kawalan menurun curam dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX
Berita Harian X