Selasa, 25 Julai 2017 | 9:45am
KAWASAKI Z900 ABS dipertaruhkan pada tahun ini sebagai pengganti Z800.. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Z900 ABS dilengkapi suspensi fork terbalik 41mm di depan dan monoshock, belakang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KAWASAKI Z9000 di Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Supernaked ringkas lebih berkuasa

DALAM kalangan peminat motosikal berkuasa tinggi, umum mengetahui Kawasaki sememangnya pakar dalam penghasilan enjin 4-silinder sebaris, yang dapat dijejaki sejak ia mula mengeluarkan Lagenda Raja Kuasa, Z1 (900cc) pada 1972.

Meneruskan mitos siri 'Z', Kawasaki Z900 ABS dipertaruhkan pada tahun ini sebagai pengganti Z800. Ia menggunakan enjin 948 cc, empat silinder sebaris penyejukan cecair dan mampu menghasilkan 124 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm tork pada 7,700 rpm.

Kuasanya adalah 13 hp lebih berbanding enjin Z800 dengan berat keseluruhan 21 kilogram (kg), 21 kg lebih ringan.

BH Auto berpeluang menunggang uji jentera ini pada minggu lalu, sumbangan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.

Rekabentuk Sugomi

Dari segi luaran, Z900 ABS menerapkan gaya lagenda Sugomi yang menampilkan rekaan tajam secara agresif berserta peletakan enjin yang padat. Sugomi bermaksud mengagumkan, kesan sukar dilupakan, menggerunkan dari segi kedudukan dan keupayaan serta menurut perintah. Ia menjadi elemen teras prestasi dan gaya supernaked keluarga Z.

Z900 ABS dilengkapi suspensi fork terbalik 41mm di depan dan monoshock, belakang. Panel instrumen menggunakan skrin LCD dengan tiga mod tunggangan, selain daripada lampu shift pada meter rpm.

Umumnya ia adalah jentera baru serba baharu, dengan tidak banyak perkara yang dikongsi dengan model sebelumnya selain beberapa asas reke bentuk.

Dari segi tunggangan, Kawasaki Z900 ABS suspensi fork terbalik 41mm di depan dan monoshock, belakang bergerak harmoni dengan brek cakera 300mm bersama kaliper 4-piston dan cakera 250mm dngan kaliper piston tunggal belakang, sekali gus menjadikan tunggangan selesa dan meyakinkan.


PANDU uji kawasaki Z9000 di Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tunggangan Agresif

Selain itu, rangka ultra-ringan membolehkan penunggang dengan mudah mengharungi jalan sesak dan mencabar.

Agak menarik juga, Z900 ABS dilengkapi klac slipper, yang boleh mengelakkan lantunan pada tayar belakang semasa menurunkan gear secara agresif, selain menjadikan genggaman klac lebih selesa dan lembut.

Model asas Z900 ditawarkan dalam warna kelabu, manakala model edisi khas dijual dalam warna biru. Model edisi khas Z900 ABS didatangkan sekali bersama penutup tempat duduk belakang, penutup meter, soket DC, skrin radiator, slider badan, pelindung enjin, slider di tayar hadapan dan grafik yang istimewa.

Kesimpulannya, jika anda peminat enjin empat silinder sebaris dan mahu menikmati tunggangan agresif seharian atau pada hujung minggu, Z900 ABS adalah antara model yang wajar dipertimbangkan.

Ia bersandarkan tawaran harga yang dikira mampu milik iaitu RM49,158 untuk model asas, RM50,959 untuk model edisi khas.

Spesifikasi:

  • Enjin: 948cc; Sejukan cecair; 4 lejang sebaris; DOHC; 16 injap; Pancitan bahan api; Sistem pencucuh: Digital.
  • Kotak gear: 6 kelajuan
  • Kerangka: Trellis, keluli tegangan tinggi
  • Suspensi depan: fork terbalik dengan penyerap lantunan redaman dan spring prabeban boleh laras.
  • Duspensi belakang: Back-link mendatar dengan lantunan redaman dan spring prabeban boleh laras
  • Ketinggian pelana: 795mm
  • Berat kering: - 210 kg (Z900 ABS - Kelabu) - 213 kg (Z900 ABS Edisi Khas -Biru)
  • Kapasiti bahan api: 17 liter

Berita Harian X