Rabu, 19 Julai 2017 | 11:34am

Honda CR-V baharu tampil ciri keselamatan tambahan

Generasi kelima Honda CR-V membuat kemunculan sulungnya di pasaran tempatan minggu ini, bagi meneruskan kelangsungan kenderaan utiliti sukan (SUV) antara yang terbaik di dalam kelasnya.

Bulan lalu, sekumpulan media tempatan diberikan peluang untuk menguji prestasi jentera terbaharu Honda itu di Putrajaya.


Generasi kelima Honda CR-V. - Foto NSTP/Yazit Razali

Pandu uji berkenaan terdiri daripada pemacuan jarak dekat model baharu CR-V dan versi lebih santai bagi membandingkan kuasa jentera baharu berkenaan berbanding generasi terdahulu.

Ia terdiri daripada ujian "slalom" bagi menguji pengendalian keseluruhan Honda CR-V baharu, namun sebahagian besar masa yang diperuntukkan pada pandu uji berkenaan adalah untuk merasai sendiri kemampuan "Honda Sensing", ciri-ciri terbaharu yang ditawarkan oleh Honda di dalam SUV berkenaan.

Latihan "Honda Sensing" itu juga termasuk demonstrasi jalanan bagi dirasai sendiri oleh pengamal media.

Meneliti tawaran keseluruhan Honda CR-V baharu melalui maklumat yang diberikan, adalah dimaklumkan bahawa terdapat dua pilihan enjin pada generasi kelima yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, dengan enjin SOHC, i-VTEC 2.0 liter membuat kemunculan semula menjadi model asas.

Enjin itu menghasilkan 155 PS pada 6,500 rpm, dan 190Nm tork pada 4,300 rpm.

Satu lagi enjin adalah DOHC VTEC 1.5 liter turbocharged, yang dikongsi bersama Honda Civic generasi semasa, namun diberikan penalaan semula lebih berkuasa.


Generasi kelima Honda CR-V. - Foto NSTP/Yazit Razali

Pengecas turbo dan suntikan terus menghasilkan perbezaan bagi kapasiti lebih kecil, membolehkan enjin turbocharged baharu itu menjana 193PS pada 5,600 rpm dan tork maksimum 243 Nm pada 2,000 hingga 5,000 rpm.

Sebagai perbandingan, enjin 2.4 liter CR-V sebelum ini menghasilkan 190 PS pada 7,000 rpm, dan 222 Nm tork pada kemuncak 4,400 rpm.

Di sebalik angka kuasa yang hampir sama, enjin turbocharged 1.5 liter menghasilkan prestasi lebih baik, memandangkan tork maksimum dicatatkan daripada serendah 2,000 rpm, manakala tork maksimum enjin 2.4 liter hanya boleh dihasilkan pada 4,400 rpm.

Selain itu, bagi menghasilkan keseluruhan 190 PS dalam enjin 2.4 liter, pemandu perlu menekan pelaras sehingga 7,000 rpm, berbanding enjin turbocharged 1.5 liter yang kuasa maksimumnya dihasilkan pada 5,600 rpm.

Dari segi bantuan pemandu, "Honda Sensing" menawarkan dua ciri-ciri iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow (LSF).


Generasi kelima Honda CR-V. - Foto NSTP/Yazit Razali

Kedua-dua ciri-ciri berkenaan membolehkan pemandu meluncur pada jarak yang selamat dari kenderaan di hadapan tanpa perlu menekan brek atau minyak.

ACC mengekalkan jarak selamat dari kenderaan di hadapan dan akan membrek secara automatik jika kenderaan hadapan diperlahankan. Ia akan membrek terus jika perlu.

Kemudahan ini berfungsi antara 30 kilometer sejam (km/h) dan 180 km/h. Pada kelajuan di bawah 30 km/h, LSF akan mengambil alih dan secara asasnya akan menggunakan fungsi sama.

Ketika ACC berfungsi pada peluncuran lebuh raya, LSF adalah ciri-ciri tambahan yang amat bermanfaat bagi pemanduan di dalam bandar. Ia membolehkan keletihan pemanduan diminimumkan.

Menurut jurutera Honda yang turut serta pada pandu uji berkenaan, selain matlamat keselamatan, "Honda Sensing" juga disasar untuk menambah lagi keselesaan pemandu.

Dari segi Pencegahan Pelanggaran Sisi, tiga sistem berfungsi secara bersama-sama iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

LDW memantau posisi lorong dan memberi amaran kepada pemandu jika mereka keluar dari garisan.

RDM akan memberikan amaran, membrek dan membantu pemandu menstabilkan stering bagi mengelak kereta terbabas ke luar jalan.


Generasi kelima Honda CR-V. - Foto NSTP/Yazit Razali

Di dalam LKAS pula, sebuah kamera akan membaca penandaan lorong dan membantu stering pemandu bagi kenderaan berada di dalam lorong.

Semua sistem berkenaan adalah bagi bantuan pemandu saja.

INFO: Varian dan harga Honda CR-V baharu

  • 1.5L Turbocharged Premium 2WD: RM167,700
  • 1.5L Turbocharged 2WD: RM155,700
  • 1.5L Turbocharged 4WD: RM161,600
  • 2.0L i-VTEC 2WD: RM142,400


Generasi kelima Honda CR-V. - Foto NSTP/Yazit Razali

Spesifikasi
- Panjang keseluruhan: 4,584 mm
- Lebar keseluruhan:1,855 mm
- Tinggi keseluruhan: 1,679 mm.

139 dibaca
Berita Harian X