Khamis, 20 Disember 2018 | 7:47pm
SITI Kamsiah Hassan - Foto NSTP

Dakwa rakan, keluarga bersubahat jenayah buang bayi

Hukuman tegas bagi kesalahan buang bayi digesa diperluas kepada individu yang bersubahat dengan perlakuan jenayah itu, sebagai amaran keras membendung peningkatan kes saban tahun.

Selain individu yang menyebabkan kehamilan khususnya teman lelaki, pendakwaan kes tidak harus mengetepikan rakan dan keluarga yang gagal mengambil tindakan sewajarnya, selepas menyedari risiko berlaku kes buang bayi sehingga mencetus perbuatan jenayah itu.

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan, berkata hukuman setimpal termasuk ke atas mereka yang bersubahat, mampu memberi kesedaran tinggi kepada orang lain untuk tidak melakukan perkara sama.

"Kita mungkin boleh buat cadangan penambahbaikan dari segi undang-undang kepada kerajaan, supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

"Contohnya berkelakuan baik (untuk satu tempoh tertentu) dengan pemantauan. Tambahan kepada itu, hukuman mungkin boleh turut dikenakan terhadap orang lain seperti keluarga dan rakan sebilik yang mengetahui anak atau rakan mereka mengandung, tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan," katanya kepada BH.


SITI Kamsiah Hassan - Foto NSTP

Kabinet sebelum ini memutuskan jenayah buang bayi disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, selain cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Namun, statistik Bahagian D11 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tempoh 2014 hingga Jun tahun ini mengesahkan, hanya tiga kes buang bayi disiasat di bawah kedua-dua seksyen itu, manakala Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan paling tinggi masing-masing mewakili 32.96 peratus dan 59.93 peratus daripada keseluruhan 534 kes disiasat.

Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 318 kanun sama kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hukuman tidak setimpal

Siti Kamsiah berkata, hukuman bagi kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak setimpal dengan jenayah dilakukan, lebih-lebih lagi mengambil kira tindakan itu yang berisiko menyebabkan kematian bayi tidak berdosa.

"Sejak 2014 hingga Jun lalu, lebih 50 peratus daripada 534 kes buang bayi diselesaikan dengan pelakunya dituduh dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah, bagaimanapun hukuman sahaja tidak memadai untuk mengurangkan kes.

"Kerjasama semua pihak perlu dalam memastikan ia dapat ditangani secara menyeluruh, di mana masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada polis untuk menyalurkan maklumat, supaya tindakan awal dapat diambil sebelum sesuatu kes berlaku," katanya.

BH sebelum ini melaporkan Lebih 3,000 pasangan suami isteri memohon untuk mendapatkan bayi yang diberi perlindungan oleh Yayasan OrphanCARE, sama ada diselamatkan atau ditinggalkan di pusat program Baby Hatch kendalian yayasan itu.

Bantu bela wanita terlanjur

Sementara itu, tidak semua kes buang bayi berpunca akibat kehamilan luar nikah, sebaliknya beberapa faktor lain termasuk kemiskinan turut mendorong perlakuan jenayah itu.

Anak Kami antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan membantu memudahkan urusan golongan terbabit, sekali gus mengelak bayi terdedah risiko, termasuk maut akibat ditinggal atau dibuang di lokasi tidak selamat.

Pengasas Anak Kami, Suraya Ali, berkata sepanjang tujuh tahun beroperasi pihaknya yang kini diletakkan di bawah Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelamatkan 171 bayi daripada dibuang.

Beliau yang juga Ketua Biro Wanita PPIM berkata, pihaknya tidak mencari bayi untuk dijadikan anak angkat, sebaliknya segala urusan termasuk permohonan menjadi keluarga angkat dilakukan menerusi laman Facebook disediakan.

"Ramai memohon untuk ambil anak angkat, tetapi keputusan (siapa layak) terletak di tangan ibu kandung.

"Ibu akan diberi senarai profil setiap bakal keluarga angkat dan memilih mengikut padanan kriteria dikehendaki, dengan pandangan dan nasihat diberikan petugas kami.

"Tidak cukup dengan itu, Anak Kami dengan bantuan agensi tertentu turut membantu ibu kandung yang berdepan masalah kewangan, untuk mendapatkan pekerjaan atau alternatif lain supaya dapat meneruskan hidup, termasuk membantu suami bagi kes tertentu," katanya.

Isu jual beli bayi tidak timbul

Dalam pada itu, Suraya berkata, tidak timbul soal jual beli bayi kerana pihaknya tidak mengambil atau menerima bayaran, sebaliknya keluarga yang mahu mengambil bayi angkat perlu menyediakan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam dana khas.

"Dana itu bertujuan membiayai keperluan ibu kandung sebelum dan selepas kelahiran, termasuk menanggung bil perubatan dan hospital.

"Bayi akan dibiarkan bersama ibu kandung sekurang-kurangnya dua minggu selepas dilahirkan, sebelum diserahkan kepada keluarga angkat," katanya.

Beliau pada masa sama menasihati wanita yang tersilap langkah supaya tidak mengambil jalan mudah dengan membuang bayi, kerana banyak saluran boleh digunakan sebagai alternatif untuk membantu mereka.

Info:

Prosedur pengambilan anak angkat

- Ibu kandung dan keluarga angkat berbincang keperluan sebelum dan selepas bersalin, serta keupayaan keluarga angkat.

- Jika ada persetujuan, surat akuan sumpah disediakan.

- Keluarga angkat perlu bantu dan bawa ibu kandung jalani pemeriksaan susulan.

- Keluarga angkat perlu berada di hospital, beri sokongan kepada ibu kandung dan menguruskan dokumentasi serta bil hospital.

- Laporan polis dibuat keluarga angkat mengesahkan sudah terima anak seperti mana surat akuan sumpah.

- Daftar kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara sebelum isi borang permohonan anak angkat.

- Keluarga angkat maklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah ambil anak angkat bagi tujuan pengesahan dan pemantauan selama 2 tahun.

- Sijil anak angkat dikeluarkan JKM selepas dua tahun pemantauan, disokong dan disahkan agensi.

Berita Harian X