Ahad, 25 November 2018 | 11:24am

Eksklusif: Salun kecantikan gigi haram

Kuala Lumpur: Kewujudan klinik pemutihan gigi haram yang berselindung sebagai pusat kecantikan gigi dikesan kian berleluasa sehingga dikhuatiri mengundang pelbagai risiko kesihatan kepada pelanggan.

Di Lembah Klang sekurang-kurangnya lima pusat kecantikan dikenal pasti menawarkan khidmat pemutihan gigi sejak enam bulan lalu, yang dipercayai tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Lima premis pusat kecantikan yang diwujudkan serentak itu didapati menawarkan rawatan pemutihan gigi melalui kaedah photocatalyst yang menggabungkan tindak balas gel pemutih dengan diod pancaran cahaya (LED).

Presiden Persatuan Pergigian Doktor-Doktor Gigi Islam Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah, mengakui pelik bagaimana pusat kecantikan gigi itu dibenarkan beroperasi secara besar-besaran tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini membimbangkan kami, terutama kesan jangka panjang akibat khidmat pemutihan gigi yang tidak mendapat kelulusan.


Orang ramai dinasihat dapatkan rawatan gigi termasuk untuk pemutihan di klinik yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. - Gambar hiasan

Risiko gigi rosak

“Kami khuatir ia mungkin berisiko merosakkan gigi, selain potensi toksin juga sangat tinggi,” katanya kepada BH.

Berdasarkan maklumat, pusat kecantikan gigi terbabit menawarkan khidmat pemutihan gigi berkonsepkan layan diri kepada pelanggan, sekali gus dibimbangi berisiko apabila kaedah rawatan tidak dikendalikan pengamal perubatan pergigian bertauliah.

Ia bertentangan dengan Akta Pergigian Malaysia 2018, yang menetapkan prosedur perlu dijalankan oleh pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Penggunaan khidmat rawatan gigi termasuk pemutihan yang dikendalikan klinik atau individu tidak bertauliah, berisiko mengundang masalah khususnya pada kesihatan oral seperti masalah gusi, penipisan enamel serta pelbagai jangkitan dalam mulut.

Mengulas lanjut, Dr Firdaus berkata, siasatan pihaknya mendapati pusat kecantikan gigi itu melanggar sekurang-kurangnya tiga akta termasuk Akta Pergigian Malaysia 2018, kerana menyamar sebagai doktor gigi dan memberi rawatan pergigian kepada orang ramai.

“Dua lagi membabitkan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHSFA) 1998 kerana membuka premis tanpa pendaftaran, serta Akta Peranti Perubatan 2012 kerana membeli dan menggunakan alat peranti perubatan atau pergigian tanpa pendaftaran dan kebenaran.

“Laporan lengkap mengenai aduan yang diterima berhubung operasi pusat kecantikan gigi ini akan kita dimajukan kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut,” katanya.


KUALA LUMPUR 23 NOVEMBER 2018. Presiden Persatuan Pergigian Doktor-doktor Gigi Islam Malaysia, Dr. Firdaus Hanapiah.

Hanya staf kendali rawatan

Kuala Lumpur: Lima pusat kecantikan gigi yang beroperasi tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan di sekitar Lembah Klang, tidak menggunakan khidmat doktor pergigian bertauliah untuk mengendalikan prosedur rawatan pemutihan gigi.

Sebaliknya, rawatan menggunakan mesin diod pemancar cahaya (LED) dilakukan sendiri pelanggan melalui konsep layan diri, dengan hanya dipantau kakitangan.

Apa yang membimbangkan, kakitangan terbabit tidak memiliki sebarang tauliah dalam bidang pergigian, sebaliknya hanya diberikan kursus selama sehari mengenai tatacara pengendalian mesin keluaran Jerman oleh majikan.


- Gambar hiasan

Guna peluntur

Perkara itu diakui kakitangan pusat kecantikan gigi terbabit yang ditemui BH ketika tinjauan ke premis cawangannya yang dibuka di pusat beli-belah terkenal sekitar Lembah Klang.

“Kami tidak seperti doktor gigi dan kaedah rawatan bukan menggunakan peluntur untuk memutihkan gigi. Di sini konsep rawatan ialah do it yourself (anda lakukan sendiri),” katanya ringkas.

Sementara itu tinjauan ke laman web pusat kecantikan itu mendapati pakej biasa rawatan pemutihan gigi yang didakwa 100 peratus selamat itu disediakan pada harga RM188 untuk satu sesi, malah diskaun turut diberikan jika pelanggan memilih rawatan melebihi satu sesi.

Ditanya mengenai kesan rawatan, kakitangan terbabit mendakwa pemutihan gigi boleh dilihat serta merta, namun ia hanya kekal untuk tempoh antara seminggu hingga dua minggu bergantung penjagaan dan pemakanan.

“Biasanya pelanggan perlu menjalani pemutihan beberapa kali sebulan untuk kesan gigi putih yang lebih lama,” katanya.

INFO: KUIB MESIN LED

  • Prosedur rawatan cukup mudah kerana pelanggan hanya perlu duduk di dalam kiub mesin LED selama 30 minit untuk menjalani rawatan.
  • Berdasarkan pemerhatian tujuh kiub menempatkan mesin LED untuk kegunaan pelanggan di pusat kecantikan yang dikunjungi, semuanya diselenggara seorang kakitangan mengikut syif ditetapkan.
  • 2142 dibaca
    Berita Harian X