Khamis, 22 November 2018 | 1:26pm

Pala'u tombak penyu waktu malam

Etnik Bajau Laut atau lebih dikenali Pala’u menggunakan kaedah tradisional untuk menangkap penyu di sekitar perairan Sabah, dengan mengumpan haiwan dilindungi itu ke lokasi pemburuan sebelum ditikam.

Terkenal dengan jolokan nomad laut, Pala’u menggunakan tombak sebagai senjata pemburuan, bukannya pukat seperti biasa digunakan nelayan.

Pala’u tinggal di dalam bot atau pondok yang dibina atas air dan mereka rering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia.

Di Sabah, banyak menetap di sekitar Pulau Selakan, Sibuan, Mabul, Maiga, Denawan, Gusungan, Bohey Dulang, Bodgaya dan Kampung Hidayat

Mampu menyelam hingga 20 meter kedalaman tanpa tangki oksigen, selian menahan nafas dalam air selama 10 minit


ANGGOTA Maritim Malaysia mengawal pemburu penyu ditahan bersama pelbagai anggota badan haiwan itu yang ditemui dalam milikan mereka di sekitar perairan di Semporna. NSTP/ihsan Maritim Malaysia

KOTA KINABALU: Etnik Pala’u yang terkenal sebagai penyelam dan perenang paling mahir, dikatakan aktif menangkap penyu di sekitar Pulau Ligitan di Sabah yang bersempadan dengan Filipina, yang memiliki banyak habitat haiwan berkenaan.

Mereka biasanya memburu pada waktu malam untuk mengelak dikesan, malah mengetahui jika ada rondaan dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di lokasi pemburuan, sekali gus mengelak dikesan dan ditangkap

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, mengesahkan aktiviti pemburuan

penyu oleh Pala’u sebenarnya dilakukan sejak turun-menurun, menyebabkan mereka cukup mahir mengenal pasti habitat haiwan itu serta selok belok laut khususnya di sekitar Sabah.

“Berdasarkan kaedah pemburuan, biasanya Pala’u akan memasang umpan untuk menarik perhatian penyu, sebelum menggunakan tombak untuk menikam belakang penyu yang muncul ke lokasi.

“Selain memburu pada sebelah malam untuk mengelak dikesan, mereka cenderung melapah penyu di tengah laut biasanya di sekitar pulau yang bersempadan negara Filipina bagi tujuan sama,” katanya mengesahkan butiran pendedahan BH sebelum ini.

BH mendedahkan pemburu penyu di perairan negara bukan sekadar didalangi nelayan asing, tetapi diburukkan lagi dengan peranan Bajau Laut yang menerima bayaran lumayan mencecah RM250 sekilogram untuk memburu haiwan dilindungi itu.


SAMPAN kecil digunakan pemburu penyu, dengan pemburuan dilakukan pada waktu malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. NSTP/ihsan Maritim Malaysia

Tidak semua Pala’u buru penyu

Norrimi bagaimanapun menegaskan tidak semua Pala’u aktif sebagai pemburu penyu, kerana ramai sebenarnya tidak berani berikutan sedar haiwan itu dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, selain bimbang dikenakan tindakan tegas.

“Kita sudah kenal pasti beberapa kumpulan dalam kalangan keluarga berketurunan Pala’u yang aktif memburu penyu di sekitar perairan Sabah dan mereka kini dipantau rapi pihak berkuasa.

“Kita percaya harga tinggi mencecah RM250 sekilogram bagi daging penyu menjadi pendorong kegiatan ini, sehinggakan ada segelintir Pala’u memilih menjadikan aktiviti memburu penyu sebagai kerjaya menguntungkan,” katanya.

Dari segi penguatkuasaan, Norrimi berkata pemburuan penyu menjadi antara fokus utama setiap kali rondaan dijalankan Maritim Malaysia khususnya di sekitar perairan Sabah, lebih-lebih lagi jika ada laporan diterima daripada orang awam.


SIJIL Hero Penyu diterima Maritim Malaysia mengiktiraf usaha penguatkuasaan bagi melindungi penyu. - NSTP/ihsan Maritim Malaysia

Anugerah Hero Penyu

“Untuk rekod, tiga tangkapan dilakukan Maritim Malaysia membabitkan aktiviti pemburuan penyu sejak 2016 dengan terbaru penahanan dua lelaki di Semporna pada Oktober lalu,” katanya.

Ditanya andaian Maritim Malaysia terlepas pandang isu pemburuan penyu, Norrimi bagaimanapun menafikannya kerana pihaknya pernah diiktiraf Hero Penyu oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) dan Jabatan Hidupan Liar.

“Anugerah itu diterima kerana kami berjaya menggagalkan aktiviti penjualan 100 kilogram (kg) daging penyu beberapa tahun lalu. Ia menunjukkan tekad kami menjaga habitat penyu di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, pemburuan penyu bukan sekadar berisiko mengundang kepupusan kepada haiwan dilindungi itu, sebaliknya turut mengancam pelbagai spesies hidupan laut lain terutama yang bernilai tinggi.

“Ikan yu disasarkan biasanya nelayan asing bagi mendapatkan sirip untuk dijual di hotel dan restoran makanan laut di negara asal mereka, manakala timun laut pula untuk industri makanan serta perubatan tradisional.


CANGKERANG penyu yang dirampas daripada nelayan asing di sekitar perairan Sabah. - Pix Ihsan Maritim Malaysia

BANGKAI penyu yang sudah siap dilapah dibuang ke laut.- NSTP

Sasar buru penyu juvana

“Dugong dan ikan lumba-lumba pula, kedua-dua spesies ini bukan sasaran tangkapan komersial, sebaliknya menjadi mangsa kerana terperangkap dalam pukat atau terkena kipas vesel nelayan asing yang boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan,” katanya.

Mengenai aktiviti nelayan asing, Munir mengakui bimbang dengan aktiviti yang menyasarkan penyu muda atau juvana akan menyumbang kepupusan penyu dewasa, mengakibatkan jumlah ibu penyu mendarat dan bertelur di pantai Malaysia berkurangan.

“Penyu berusia antara dua hingga enam tahun menarik minat pemburu, berikutan lebih mudah dijumpai kerana bilangannya banyak di sekitar perairan Sabah dan Sarawak, yang menjadi tumpuan habitat penyu berikutan terdapat tumbuhan karang dan rumput laut yang menjadi sumber makanan sesuai untuk spesies haiwan itu.

“Kelajuan penyu juvana ketika berenang yang kurang berbanding penyu dewasa juga menjadi antara faktor penyumbang ia mudah diburu, selain saiznya yang kecil dan ringan memudahkan ia ditangkap pemburu,” katanya.

Berita Harian X