Rabu, 21 November 2018 | 11:15am

Pemburu ditawar harga tinggi

KOTA KINABALU: Permintaan tinggi terhadap daging penyu dengan harga mencecah RM250 sekilogram, mendorong peningkatan aktiviti pemburuan haiwan dilindungi itu di sekitar perairan negara, semata-mata untuk memenuhi selera penggemar menu makanan eksotik.

Selain didalangi nelayan asing yang menceroboh perairan negara khususnya dari Vietnam dan kepulauan Filipina, pemburuan penyu diburukkan dengan peranan golongan Bajau Laut atau Pala’u, yang aktif menangkap haiwan itu di sekitar perairan Sabah.

Sumber memberitahu BH ada pihak tertentu yang sememangnya memanipulasi kemahiran golongan Bajau Laut yang terkenal memiliki kecekapan berenang serta mahir dalam ilmu nelayan, untuk mencari dan menangkap penyu bagi pihak mereka.

“Mereka (pembeli) menawarkan harga tinggi kepada pemburu untuk mendapatkan daging penyu yang harganya kini meningkat dua kali ganda berbanding beberapa tahun lalu sehingga mencecah RM250 sekilogram.

“Disebabkan harga tinggi pemburuan penyu kian berleluasa, malah permintaan untuk makanan daging eksotik khususnya bagi warga asing juga sangat tinggi,” katanya.

BH mendedahkan nasib penyu di sekitar Laut China Selatan dan Sabah makin terancam akibat diburu nelayan asing yang menjadikan haiwan itu sasaran berharga, berikutan mendapat permintaan tinggi sebagai makanan eksotik dan aksesori.

Aktiviti memburu penyu khususnya jenis karah dan agar untuk mendapatkan isi, organ dan cangkerang itu membimbangkan berikutan mampu menjejaskan aktiviti pendaratan penyu, sekali gus berisiko menyebabkan kepupusan.

Mahir selok-belok laluan laut

Mengulas pemburuan penyu oleh Bajau Laut, sumber sama berkata kebiasaannya etnik yang banyak menghuni Pulau Selakan, Sibuan, Mabul, Maiga, Denawan, Gusungan, Bohey Dulang, Bodgaya dan Kampung Hidayat itu biasanya aktif menangkap penyu di sekitar Pulau Ligitan yang bersempadan dengan Filipina, yang dipercayai memiliki banyak habitat haiwan berkenaan.


BANGKAI penyu agar jantan yang ditemui terdampar dengan kesan

Katanya, kebanyakan pemburu Bajau Laut menjalankan pekerjaan terbabit secara turun-temurun dan mereka memang mahir dengan selok-belok laluan laut yang cetek serta paya bakau di sekitar pulau di perairan Sabah.

“Biasanya penyu yang ditemui akan dibunuh terus di sekitar pulau dan proses melapah akan turut dilakukan di lokasi sama, sebelum daging dan organ dibawa ke pulau sekitar Semporna.

“Di situ, mereka akan bertemu pembeli yang akan membayar harga tinggi kepada pemburu untuk setiap kilogram daging penyu yang dibekalkan,” katanya.

Ditanya mengenai harga, sumber itu berkata, pembeli tidak rugi membayar harga tinggi kepada pemburu memandangkan bekalan penyu semakin berkurangan, tetapi permintaan terhadap makanan eksotik itu sangat tinggi.

Sisa pukat ‘perangkap’ maut

Sementara itu, sisa pukat termasuk pukat yang direntang nelayan di lautan, sering memerangkap penyu sehingga menyebabkan kematian, seperti yang berlaku ke atas penyu agar yang bangkainya ditemui terdampar di Pantai Rhu Kudung, dekat Paka di Terengganu, awal bulan lalu.

Menyedihkan apabila kesan cedera akibat jerutan pukat pada bangkai menunjukkan seolah-olah penyu jantan berukuran panjang 93 sentimeter (sm) dan lebar 83sm itu berusaha untuk melepaskan diri, sebelum mati dipercayai akibat lemas.

Gambar bangkai penyu dengan sisa pukat pada mulut cukup menyedihkan kerana memperlihatkan ia cuba mengunyah pukat dipercayai sebagai ikhtiar melepaskan diri.


SHARIFAH Ruqaiyah Syed Mustafa.

Pegawai Kanan Pemuliharaan Marin Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia), Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa, berkata selama ini sukar untuk temui bangkai penyu sedemikian, tetapi penemuan itu membuktikan pukat nelayan menjadi penyumbang kematian spesies ini.

“Kami percaya ia mati lemas kerana terperangkap, malah berkemungkinan sudah mati tiga hari sebelum ditemui,” katanya.

Berdasarkan rekod WWF, 50 penyu mati di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu, dengan antara punca utama ialah disebabkan tersangkut pukat.

Spesies paling terancam

Mengulas bahaya pukat, Sharifah Ruqaiyah berkata, penyu belimbing antara paling terancam kerana spesies itu berisiko tersangkut pada pukat hanyut ketika proses migrasi, khususnya di sekitar Lautan Pasifik.

“Dari segi laluan migrasi, penyu belimbing akan bergerak ke habitat pemakanannya di Lautan Pasifik dengan melalui perairan Filipina dan Jepun, namun masalah timbul apabila pukat hanyut sering direntangkan di sekitar laluan itu,” katanya.

“Penyu perlu naik ke permukaan laut untuk bernafas setiap 20 minit ke dua jam dan pukat yang berada terlalu lama di dalam laut, menyebabkan penyu lemas,” katanya.

2642 dibaca
Berita Harian X