Selasa, 20 November 2018 | 11:55am
BANGKAI penyu sudah dilapah dibuang ke laut oleh nelayan asing di perairan Terengganu. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar

Lapah penyu di tengah laut

KUALA LUMPUR: Penyu di sekitar perairan negara makin terancam kerana menjadi buruan nelayan asing yang menjadikan hidupan dilindungi itu sebagai sasaran berharga dan sumber pendapatan mereka.

Selain menangkap ikan, nelayan asing menjadikan sekitar Laut China Selatan dan perairan di sekitar Sabah lokasi memburu penyu untuk isi, organ dan cangkerang, susulan permintaan tinggi sebagai makanan eksotik dan aksesori.

Penyu agar misalnya diburu kerana isi (plastron dan daging) untuk dibuat sup, manakala penyu karah untuk cangkerang yang dijadikan gelang, beg tangan dan bingkai cermin mata.

Menurut sumber, modus operandi nelayan asing itu amat galak kerana spesies haiwan terancam itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran sehingga ada ke laut semata-mata untuk memburu penyu.

Penyu ditangkap biasanya dilapah di tengah laut dengan daging, organ serta cangkerang diasingkan, manakala bangkai yang tidak bernilai dibuang begitu sahaja. Semua proses dilakukan di dalam bot kerana penyu biasanya tidak bertahan lama selepas ditangkap.

“Daging dan organ penting yang mempunyai harga disimpan di tempat sejuk beku, manakala selebihnya, termasuk cangkerang yang tidak bernilai dicampak ke dalam laut.

“Bangkai penyu ditemui nelayan tempatan atau penguat kuasa, menjadi bukti ada aktiviti pemburuan penyu di perairan negara,” katanya.


BANGKAI penyu yang siap dilapah dibuang ke laut. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar

Sumber laut berharga

Daging penyu difahamkan antara sumber laut berharga, sama seperti sirip ikan yu dan mempunyai nilai yang amat tinggi di negara jiran sehingga menjadi buruan nelayan asing.

Nelayan asing yang menceroboh perairan negara akan mengutip apa sahaja isi laut menggunakan pukat tunda, termasuk penyu di kawasan sekitar.

Beliau berkata, biasanya ada seekor penyu dewasa terperangkap dalam pukat tunda dan jika masih hidup ia tidak dilepaskan, sebaliknya dilapah untuk diambil isi dan organ lain.

“Di negara jiran, pemakanan eksotik mendapat permintaan tinggi. Daging penyu dianggap sangat berkhasiat untuk kesihatan. Permintaan terhadap daging penyu tinggi, menyebabkan mereka menceroboh perairan negara mencari penyu.

“Ada yang sanggup terjun ke laut untuk mengambil penyu jika haiwan itu berada berdekatan dengan bot atau kapal mereka,” katanya.

Nelayan asing rakus buru penyu

Sementara itu, usaha Malaysia memastikan penyu terus mendarat di pantai negara ini khususnya dari jenis penyu agar, lipas dan belimbing dijangka terjejas dalam tempoh beberapa tahun akan datang susulan aktiviti pemburuan haiwan itu oleh nelayan asing.


CANGKERANG penyu yang dirampas daripada nelayan asing. - Ihsan Maritim Malaysia

PERALATAN melapah dan cangkerang penyu hijau yang dirampas daripada nelayan asing di kawasan perairan Kampung Labuan Haji Pulau Bum Bum, Semporna. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar

Kehadiran mereka bukan sahaja mengaut hasil laut di perairan negara, tetapi turut memberi kesan buruk kepada ekosistem reptilia terancam itu.

BH difahamkan ada nelayan asing menceroboh perairan bukan mencari ikan atau hasil laut lain, sebaliknya memasang pukat khusus untuk menjerat penyu yang bebas berenang di Laut China Selatan.

Kebanyakan nelayan ini adalah dari negara jiran seperti Vietnam yang menceroboh perairan pantai timur Semenanjung, manakala nelayan Filipina menceroboh perairan Sabah.


SHARIFAH Ruqaiyah Syed Mustafa.

CANGKERANG penyu dirampas daripada nelayan asing yang ditahan di sekitar perairan Sabah. - Ihsan Maritim Malaysia

Sumber industri eksotik

Pegawai Kanan Pemulihan Marin Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa mengesahkan reptilia yang diancam kepupusan itu menjadi buruan nelayan asing untuk dijadikan sumber industri eksotik di negara berkenaan.

“Sekiranya dari Hainan atau Vietnam serta Filipina, memang ada nelayan yang ke laut semata-mata untuk mencari penyu. Mereka ini turut dikesan menceroboh perairan negara seperti Sabah bagi memburu penyu.

“Bangkai penyu juga banyak dikesan, khususnya di Semporna. Mereka mengambil daging dan plastron penyu untuk menyediakan makanan eksotik kepada pelancong China.

“Aktiviti itu aktif di perairan negara sehingga diberi perhatian serius oleh beberapa agensi penguatkuasaan, termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Hidupan Liar,” katanya.

6265 dibaca
Berita Harian X