Jumaat, 2 November 2018 | 12:15pm
YASMIN Mahmood. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Sekolah khas digital, teknologi bakat pintar

KUALA LUMPUR: Sekolah khas dalam aliran teknologi dan digital dijangka diwujudkan di negara ini seawal tahun depan, dengan permulaan membabitkan sekurang-kurangnya dua projek perintis.

Pembangunan sekolah khas itu akan menumpukan kepada pembangunan kanak-kanak yang memiliki kecerdasan tinggi dalam bidang teknologi dan digital, bagaimanapun kelulusannya masih di peringkat pertimbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, mengesahkan perkara itu dan pihaknya kini menunggu kelulusan di peringkat dasar.

“Model sekolah khas itu nanti mirip kepada sekolah sukan yang menghimpunkan bakat atlet negara. Bezanya sekolah khas ini akan menumpukan kepada pengajian khusus aliran teknologi dan digital.

“Ia sebenarnya sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan bakat pintar Malaysia yang dikesan dan dibangunkan saban tahun, tidak ‘dicuri’ negara lain,” katanya kepada BH.

BH sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat kanak-kanak pintar luar biasa yang dikesan dan dibangunkan bakat mereka oleh kerajaan, dicuri beberapa negara luar.

Status terkebelakang berbanding negara lain dari segi pengalaman dan dana untuk pembangunan bakat pintar, menyebabkan Malaysia sukar untuk bersaing dengan negara lain yang memiliki program sama yang lebih tersusun.

Bakat pintar Malaysia dicuri

Yasmin pada masa sama mengakui isu bakat pintar Malaysia dicuri negara luar sememangnya berlaku dan kerajaan mahu memastikan kanak-kanak yang memiliki kecerdasan luar biasa itu dapat terus dikekalkan untuk manfaat negara.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh Deo) mahukan kami pertingkatkan ke tahap lebih tinggi dengan memajukan idea menubuhkan sekolah fokus aliran teknologi ini. Asas penubuhan sekolah ini sudah ada, maka kita yakin dapat laksanakan secepat mungkin.

“Kita akan mula secara kecil dulu, pada masa sama mengharapkan akan ada lebih banyak sekolah fokus aliran teknologi diwujudkan di seluruh negara, kerana bidang ini adalah masa depan kita,” katanya.

Mengulas dakwaan Malaysia terkebelakang dalam pembangunan bakat pintar, beliau berkata, pihak kementerian sudah melaksanakan beberapa inisiatif untuk tujuan itu sejak beberapa tahun lalu, termasuk penekanan aliran teknologi seperti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong.

Katanya, MRSM Bentong memiliki guru berkepakaran dalam teknologi dan terlatih menggunakan kurikulum khas disediakan Kementerian Pendidikan, yang mana pihak MDEC turut terbabit menghasilkan modul bagi kurikulum aktiviti.

MDEC sedia program pembangunan bakat

“Selain itu MDEC menyediakan program pembangunan bakat seperti Digital Ninja yang mana kini selepas dua tahun, kita sudah menemui lebih 250 kanak-kanak pintar yang hebat dalam industri digital.

“Menerusi program ini, kami berikan latihan, kemahiran hidup, pendedahan ke peringkat antarabangsa, selain melaksanakan projek dan pemikiran bisnes. Namun ia masih fokus kepada aktiviti ketika cuti sekolah, kerana itu kita memerlukan sekolah khas yang memfokuskan kepada bidang teknologi,” katanya.

153 dibaca
Berita Harian X