Isnin, 29 Oktober 2018 | 10:42pm
LIM Wern Jie kini menyambung pengajian di Singapura.

Remaja 'genius' Malaysia kecapi tuah di Singapura

KUALA LUMPUR: Peluang belajar di sekolah khusus untuk bakat ‘genius’ di Singapura dengan ditaja biasiswa penuh, antara tuah Lim Wern Jie, 15, remaja Malaysia yang dikategorikan berbakat pintar luar biasa.

Mengikuti pengajian di NUS Mathematics and Science Gifted School (NUSHS), beliau mengaku persekitaran pendidikan yang mengutamakan bidang berteknologi tinggi, memberi lebih pendedahan kepada dirinya, bersesuaian dengan keistimewaan yang dimiliki dalam bidang digital.

“Silibus pembelajaran di sini, (NUSHS) jauh lebih maju berbanding di Malaysia. Buktinya, walaupun kini di tahun tiga pengajian, saya perlu merujuk buku yang dikhususkan untuk pelajar lebih tinggi, menyamai tahap Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Persekitaran pendidikannya juga lebih maju, di mana pelajar memanfaatkan sepenuhnya teknologi dalam melakukan tugasan. Selain penyerahan tugasan secara dalam talian, perbincangan kerja kumpulan juga dilakukan secara bersama melalui saluran sama,” katanya yang dihubungi BH melalui aplikasi WhatsApp.

Wern Jie sebelum ini mencuri perhatian apabila membangunkan 50 aplikasi digital untuk platform iOS ketika berusia 13 tahun, malah turut meraih pendapatan melalui hasil ciptaannya itu.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu antara bakat genius yang pernah menyertai program bakat pintar di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu #myDigitalMaker, namun direkrut negara jiran kira-kira setahun lalu.

Minta mendalam bidang Matematik dan Sains

Ditanya kenapa memilih menerima tawaran belajar di Singapura, bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di Bukit Mertajam itu berkata, minatnya cukup mendalam terhadap Matematik dan Sains, maka NUSHS adalah pilihan terbaik.


LIM Wern Jie menunjukkan aplikasi penggera keselamatan telefon pintar untuk platform iOS yang dibangunkannya ketika berusia 13 tahun. - Arkib NSTP

“Antara sebab saya terima tawaran kerana sekolah menawarkan pengajian terbaik dalam pengaturcaraan dan persekitarannya juga membuatkan saya dapat ramai kawan yang boleh berkongsi topik sama.

“Sambungan internet juga lebih laju sehingga empat kali ganda berbanding di tanah air dan harganya lebih murah. Paling penting, saya dapat meneruskan minat dalam subjek matematik termasuk fizik, kimia dan biologi,” katanya.

Beliau mengakui tidak semua pengajian di luar negara menjanjikan masa depan cerah, melainkan jika ia bertepatan dengan minat seperti dirinya yang memilih NUSHS.

Sementara itu Pengarah Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, kanak-kanak memiliki bakat pintar khususnya dalam kategori paling tinggi atau ‘genius’ luar biasa, menjadi sasaran utama negara luar untuk direkrut, menyebabkan negara kerugian besar.

“Jumlah kanak-kanak pintar dan berbakat sangat sedikit dengan nisbah tahap sederhana dianggar kira-kira seorang dalam 10,000, diikuti tahap tinggi kira-kira seorang dalam 100,000 dan sangat pintar kira-kira seorang dalam sejuta.

“Bagi Pusat PERMATApintar Negara, pencarian dilakukan pihak kami mengesan 740 kanak-kanak pintar sederhana setiap tahun, selain 74 dalam kategori tinggi dan tujuh atau lapan orang sahaja dalam kategori sangat pintar,” katanya.

Usaha rekrut pelajar pintar sudah lama

Dr Noriah mengakui, makluman daripada ibu bapa yang ditemui mengesahkan penghijrahan anak pintar luar biasa ke negara luar sudah berlaku sejak 2008, malah setiap tahun ramai anak pintar berbakat menerima biasiswa lumayan untuk belajar di negara asing.


AKTIVITI kanak-kanak genius yang dilaksanakan PERMATApintar UKM bagi pembangunan bakat pintar negara, menggunakan silibus pelajaran diluluskan Senat UKM.

“Kami tiada data jumlah sebenar kanak-kanak pintar yang berhijrah ke luar negara ini kerana sebahagian mereka menerima pembelajaran peribadi di rumah (home schooling) atau dari sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Bagaimanapun data kelolaan PERMATApintar UKM menyaksikan tiga murid pintar berbakat Malaysia dilamar negara luar pada 2015, diikuti empat orang pada 2016 dan tiga lagi sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak genius luar biasa, mereka kebiasaannya direkrut seawal usia lapan tahun dan mampu menguasai ilmu digital dengan mudah pada usia sangat muda, iaitu antara 12 hingga 13 tahun.

“Kebolehan sebegini menjadi aset sebagai tulang belakang untuk Malaysia bergerak ke arah Revolusi Perindustrian 4.0, namun mereka memerlukan pendidikan lebih mencabar dan kegagalan menyediakan dan memuaskan hati mereka, membuka risiko penghijrahan ke negara luar,” katanya.

494 dibaca
Berita Harian X