Isnin, 22 Oktober 2018 | 5:49pm

SPRM tak dedah aset isteri, anak

• Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan papar aset milik ahli keluarga terdekat menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerusi portal MyDeclaration dijadual dilancar 1 November

• Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata hanya harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH akan didedah selaras keputusan Jemaah Menteri dua minggu lalu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mendedahkan aset milik ahli keluarga terdekat menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerusi portal khas yang akan dilancarkan 1 November ini.

Ia susulan keputusan Kabinet pada mesyuaratnya dua minggu lalu, yang akan menyaksikan maklumat dalam portal MyDeclaration diwujudkan SPRM, hanya akan membabitkan senarai aset milik menteri, timbalan menteri serta Ahli Parlimen pakatan berkenaan.

Memaklumkan perkembangan terbaru itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata ahli keluarga terdekat mereka seperti pasangan dan anak, bagaimanapun tetap diwajib melakukan pengisytiharan harta dan dirujuk kepada suruhanjaya berkenaan.

“Sebelum ini, memang kita ada perancangan untuk menyiarkan harta milik Ahli Parlimen PH, termasuk menteri dan timbalan menteri, pasangan serta anak mereka melalui portal berkenaan. Namun, buat masa ini ia tidak akan dilakukan.

Simpan untuk rujukan SPRM

“Bagaimanapun, mereka tetap dikehendaki melengkapkan pengisytiharan harta, kerana terdapat ruangan untuk perincian aset milik pasangan dan anak pada borang yang perlu diisi.

“Ia hanya akan disimpan untuk rujukan kerajaan dan SPRM,” katanya kepada BH.

Kerajaan PH sebelum ini mewajibkan menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen mewakili setiap parti dalam pakatan berkenaan, mengisytihar dan memperincikan harta masing-masing untuk membolehkan ia disiarkan melalui portal MyDeclaration.

Melalui portal terbabit, orang ramai boleh memeriksa senarai aset dimiliki mereka seperti rumah, kereta, tanah, bangunan, perniagaan serta akaun bank.

BH difahamkan, mengikut standard antarabangsa seperti dilakukan Kerajaan India dan Georgia, bukan sahaja menteri dan Ahli Parlimen, termasuk dari parti pembangkang diwajib mengisytihar harta, malah isteri, anak dan anggota keluarga mereka juga dikehendaki berbuat demikian.

Senarai aset yang diisytihar itu kemudian dipaparkan melalui portal boleh diakses semua rakyat, termasuk mereka yang belum membuat pengisytiharan.

Mengenai perkembangan proses pengisytiharan harta setakat ini, Shamshun Baharin berkata, setakat Rabu lalu, seramai 54 daripada 116 Ahli Parlimen PH, termasuk menteri dan timbalan menteri sudah menyerahkan senarai berkenaan kepada SPRM.

Jumlah isytihar harta meningkat

Difahamkan, mereka termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Shamsun Bhaarin menjangkajumlah yang menyempurnakan pengisytiharan harta akan meningkat, menjelang tarikh akhir pada 31 Oktober ini.

“Dalam portal itu nanti, kita bukan sahaja senaraikan mereka yang sudah isytihar harta, tetapi juga yang belum berbuat demikian,” katanya.

81 dibaca
Berita Harian X