Ahad, 21 Oktober 2018 | 5:21pm

Orang awam bantu tarik mayat 6 bomba lemas

PUCHONG: Apa yang berlaku di alur limpah berhampiran Taman Putra Perdana, dekat sini, tragedi yang mengorbankan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas pada 3 Oktober lalu.

Setakat ini ia masih dalam siasatan selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencari punca dan memberi cadangan demi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

Setakat ini butiran terperinci kejadian belum diumumkan oleh pihak berkuasa. Namun beberapa pihak, termasuk waris anggota bomba meminta KPKT menjalankan siasatan terperinci dan mengadakan inkuiri untuk mengenal pasti punca kejadian.

Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan segera bagi menyiasat punca kejadian, sekali gus dapat menjawab spekulasi dan persoalan berikutan kejadian itu.

Berikutan itu BH membuat tinjauan dan menemui saksi dalam kalangan orang awam yang menyaksikan sendiri operasi menyelamat oleh enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada hari kejadian.

Wartawan menemui enam orang saksi, termasuk seorang kawan remaja yang lemas, Muhammad Ilham Fahmy, pengawal keselamatan kawasan perumahan berhampiran, pekerja syarikat kontrak di kawasan berkenaan, pemancing serta orang awam yang membantu pasukan penyelamat pada malam berkenaan.

Kecuali seorang yang sedia mendedahkan identiti, saksi lain enggan dikenali.

Maklumat yang diperoleh hasil temu bual mereka dirangkumkan dan dicantumkan bagi membentuk kronologi untuk mendapatkan gambaran kejadian pada hari berkenaan.

Berikut kronologi berkenaan:

Jam 4 petang:

Sekumpulan lima remaja memancing di alur limpah itu, kira-kira 100 meter ke hilir dari lokasi kejadian. Seorang daripadanya

adalah Muhammad Ilham Fahmy atau dipanggil dengan nama Mat oleh rakan.

Allahyarham lebih tinggi dalam kalangan mereka dianggap ketua kumpulan itu.

Ajak pindah lokasi mancing Setelah agak lama di situ, mereka dapati tidak banyak ikan dan salah seorang mengajak berpindah ke lokasi berhampiran jambatan struktur empangan dikenali ‘Drop’, iaitu di tempat air jatuh kerana biasanya di situ lebih banyak ikan.

Ketika itu cuaca agak panas, walaupun sudah jam 4.30 petang bahangnya

terasa seperti tengah hari.

Mat merungut kerana kepanasan dan mahu mandi di kawasan ‘Drop’

itu tetapi dilarang rakan lain.

Namun, allahyarham memberitahu rakan: “Alaaa penakut, bukan

dalam pun...paras dada je”.

Ketinggian Mat kira-kira 160 sentimeter, paling tinggi berbanding yang lain,

menyebabkannya lebih berani untuk turun dalam air.

Jam 4.55 petang:

Mat turun ke dalam air di bawah ‘Drop’ itu. Mat bukan tergelincir dan jatuh seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketika itu, paras air meningkat, menyebabkan air turun laju dan pergolakan

serta pusaran mula terbentuk.

Tiba-tiba Mat disedut masuk ke dalam pusaran dan tenggelam.

Rakan lain hendak membantu, tetapi mereka takut dan tidak tahu apa yang ada di dalam air atau di bawah pusaran itu.

Ketika itu dia sudah lemas. (Mayatnya dijumpai keesokannya, hampir satu kilometer dari lokasi dia terjun mandi).

Jam 5.05 petang:

Semua rakan Mat berpakat memberitahu penduduk taman dan laporan kepada pihak bomba dibuat. Mereka kemudian menunggu di lokasi dan orang ramai mula datang ke lokasi.

Jam 5.30 petang:

Pasukan pertama (empat anggota) JBPM tiba.

Anggota penyelamat menemu bual rakan Mat dan membuat tinjauan berdasarkan apa yang mereka beritahu.

Namun, mereka tidak memberitahu perkara sebenar kerana bimbang dipersalahkan.

Mereka berpakat mengatakan bahawa Mat jatuh tergelincir ke bawah Drop, bukannya turun sendiri untuk mandi.

Ketua operasi mengarahkan anggota lain untuk meninjau kawasan Drop.

Jam 7.30 malam:

Suasana makin gelap dan pasukan kedua JBPM dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi, menjadikan semua 11 anggota. Seorang yang dilihat sebagai ketua dilihat mengarahkan tujuh anggota turun ke dalam air.

Seorang daripada mereka turun dahulu ke dalam air jauh sedikit ke hilir dan berjalan hampir di tebing ke hulu menghala ke kawasan Drop. Air tidak dalam, sekadar paras pinggang sahaja.

Mungkin tujuan anggota itu untuk meninjau keadaan atau kedalaman air.

Anggota berkenaan turun tanpa menggunakan tali, tanpa pelampung atau jaket keselamatan, tanpa tangki oksigen, sebaliknya hanya memakai jaket.

Kemudian ketua operasi mengarahkan dua anggota turun sebagai Team 1.

Kedua-dua anggota diikat berangkai dengan hujung tali lagi dipegang oleh anggota di atas tebing.

Kira-kira dua minit kemudian, Team 2 diarahkan turun untuk membantu Team 1.

Mereka juga diikat berangkai dengan hujung tali dipegang oleh anggota di

atas tebing.

Tali dililit pada badan

Tidak lama kemudian dua lagi anggota diarah turun sebagai Team 3 dengan kedua-duanya diikat pada tali ketiga yang hujungnya dipegang oleh anggota diatas tebing.

Tali pada semua anggota diikat dengan cara dililit pada badan.

Ketika itu suasana sudah gelap dan pencahayaan hanyalah berpandukan lampu suluh, termasuk daripada orang awam yang menyaksikan

operasi itu.

Anggota yang turun tidak membawa lampu suluh dan pergerakan mereka berpandukan cahaya lampu suluh dari atas tebing.

Anggota di atas tebing juga tidak dapat melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku di bawah.

Ketika ketiga-tiga pasukan berada dalam air, tiba-tiba air deras turun, tetapi pertambahan paras air tidak dapat dipastikan kerana tidak cukup pencahayaan.

Tiba-tiba anggota pertama Team 1 tenggelam disedut dan tali berpintal dalam air.

Kakinya betul betul mencecah pusaran yang menyedut Mat pada petang sebelum itu. Anggota di atas tebing mungkin menyangka lima anggota lagi mampu menarik satu yang sudah tenggelam, tetapi tiba-tiba semua lima anggota itu tenggelam.

Seorang anggota yang berjalan dalam air tadi bergegas menyelamatkan dirinya dengan naik ke atas tebing apabila mendengar suara kekecohan anggota lain dan menyedari sesuatu sedang berlaku.

Ketika itu, anggota di atas cuba menarik tali apabila melihat rakan tenggelam, namun gagal. Kira-kira 10 minit kemudian semua enam anggota sudah pun lemas.

Ketika itu orang ramai datang membantu menarik mereka ke atas. Mereka berjaya menarik semua mangsa ke atas dalam tempoh 15 minit.

Bantuan pernafasan mulut ke mulut diberikan, tetapi gagal.

Tiada pasukan perubatan atau ambulans ketika operasi dijalankan.

Jam 8 malam:

Enam anggota disahkan mati lemas. Operasi ditamatkan dan pencarian mangsa lemas sebenar tidak dilakukan. Semua mayat kemudian dibawa ke hospital.

105 dibaca
Berita Harian X